GSF 2.0: Peserta Malaysia lebih inklusif pastikan usaha tembusi sekatan laut Israel - Zulkifli

Dr Zulkifli (kanan) menerima kunjungan hormat aktivis antarabangsa, Saif Abu Keshek (kiri) dan Team Sumud Nusantara di pejabatnya Kompleks Islam Putrajaya, hari ini. - Gambar Bernama
PUTRAJAYA: Penyertaan Malaysia dalam misi Global Sumud Flotila (GSF) 2.0 akan melibatkan peserta yang lebih inklusif dan merangkumi pelbagai kategori, bagi memastikan usaha menembusi sekatan laut Israel terhadap Gaza dapat dilaksanakan dengan berkesan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.
Ringkasan AI
- Menteri Zulkifli Hasan menyatakan penyertaan Malaysia dalam misi Global Sumud Flotila (GSF) 2.0 akan lebih inklusif dan merangkumi pelbagai kategori untuk menembusi sekatan laut Israel terhadap Gaza dengan berkesan.
- Malaysia akan memberikan sokongan penuh kepada penganjuran misi GSF akan datang serta berharap objektif misi dapat memastikan bantuan kemanusiaan disampaikan kepada penduduk Gaza.
- Misi GSF bukan hanya bertujuan memecahkan kepungan Israel, tetapi juga membawa mesej penting kepada dunia mengenai keadaan di Gaza yang memerlukan perhatian serius komuniti antarabangsa.
"Alhamdulillah, sekarang ini mereka juga sedang merancang misi GSF (2.0), ia merupakan misi yang lebih besar, lebih ramai, lebih banyak bot dan apa yang mereka maklumkan tadi, mereka ingin penyertaan yang lebih inklusif merangkumi pelbagai agama, bangsa, selebriti dan pelbagai kategori lapisan masyarakat," katanya.
Zulkifli berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat daripada dua aktivis antarabangsa iaitu Saif Abu Kesek dan Kleoniki Alexopoulou, serta Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Cinta Gaza Malaysia Nadhir al-Nuri di pejabatnya di sini pada Isnin.
Beliau berkata Malaysia akan terus memberikan sokongan penuh kepada penganjuran misi GSF akan datang, serta berharap objektif misi berkenaan tercapai bagi memastikan segala jenis bantuan kemanusiaan dapat disampaikan kepada penduduk Gaza.
"Kita (Malaysia) sedang meneliti apa bentuk kerjasama yang kita boleh lakukan. Secara umumnya, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) memberikan sokongan penuh kepada misi ini," katanya.
Zulkifli berkata misi GSF bukan sekadar bertujuan memecahkan kepungan Israel, sebaliknya membawa mesej penting kepada dunia bahawa apa yang berlaku di Gaza memerlukan perhatian serius daripada seluruh komuniti antarabangsa.
"Komuniti dunia perlu melihat sendiri realiti di Gaza, termasuk ketidakadilan, jenayah perang dan tindakan yang bersifat genosid. Mesej ini mesti disampaikan kepada masyarakat antarabangsa," katanya.
Zulkifli berkata selain itu, misi itu juga bertujuan menyalurkan bantuan kemanusiaan serta menghantar tenaga pakar seperti doktor, pakar perubatan dan guru bagi membantu serta menyokong usaha pembangunan semula Gaza.
Pada September tahun lepas, GSF membawa ratusan aktivis antarabangsa termasuk 34 sukarelawan Malaysia bersama bantuan kemanusiaan, bagi menembusi sekatan laut Israel dan menyampaikan sokongan kepada penduduk Gaza.
Bagaimanapun, pada 1 Okt, kira-kira 41 kapal misi berkenaan dipintas oleh rejim Zionis sebelum para aktivis ditahan di Penjara Ketziot, Israel, dan seterusnya dihantar pulang ke negara masing-masing.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


