Istana nafi Tengku Ampuan Pahang tawar bantuan wang tunai melalui media sosial

Penafian itu susulan mesej disebar kepada orang ramai yang didapati giat memperdayakan masyarakat dengan tawaran bantuan wang lumayan. - Bernama
KUANTAN: Istana Pahang menafikan dakwaan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menawarkan bantuan wang tunai kepada orang ramai menerusi media sosial.
Menerusi hantaran Facebook Kesultanan Pahang, orang ramai diminta berhati-hati dan tidak terperdaya dengan bantuan wang tunai melalui media sosial dan aplikasi WhatsApp yang menggunakan nama 'Tengku Azizah' atau 'Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah'.
"Penafian ini susulan mesej disebar kepada orang ramai yang didapati giat memperdayakan masyarakat dengan tawaran bantuan wang lumayan serta meminta maklumat peribadi mangsa," menurut hantaran itu.
Istana Pahang menyifatkan perbuatan itu sebagai cubaan penipuan yang tidak bertanggungjawab dan boleh menjejaskan imej institusi diraja.
"Orang ramai digesa membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya dihubungi atau menerima sebarang mesej mencurigakan atas nama Tengku Ampuan Pahang," menurut hantaran itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


