TimeTec Parking lancar sistem bayaran parkir guna DuitNow QRPay

TimeTec Parking, anak syarikat Kumpulan TimeTec, hari ini mengumumkan pelancaran sistem pembayaran DuitNow QRPay pertama di Malaysia bagi industri parkir. - Foto fail
KUALA LUMPUR: TimeTec Parking, anak syarikat Kumpulan TimeTec, hari ini mengumumkan pelancaran sistem pembayaran DuitNow QRPay pertama di Malaysia bagi industri parkir, sekali gus memperkukuh kedudukan syarikat itu sebagai peneraju teknologi parkir pintar negara.
Pelancaran berkenaan merupakan hasil kerjasama strategik antara TimeTec Parking, sebuah institusi kewangan terkemuka serta pengendali rangkaian pembayaran nasional, yang membolehkan rakyat Malaysia menikmati pengalaman pembayaran parkir yang lancar, tanpa sentuhan dan sepenuhnya tanpa tunai.
TimeTec dalam kenyataan memaklumkan penyelesaian inovatif itu menggabungkan teknologi parkir pintar TimeTec dengan piawaian pembayaran kod QR yang diseragamkan di peringkat nasional, selari dengan aspirasi mobiliti bandar pintar.
"Sistem tersebut dibangunkan berasaskan teknologi Pengecaman Nombor Plat Kenderaan (License Plate Recognition, LPR) TimeTec Parking yang membolehkan proses parkir automatik sepenuhnya dari lorong masuk hingga lorong keluar.
"Apabila kenderaan memasuki kawasan parkir, sistem LPR akan merekod nombor plat sebagai rujukan kemasukan. Sewaktu keluar, sistem secara automatik mengira caj parkir dan menjana kod QR DuitNow yang unik serta dinamik pada skrin LCD di lorong keluar," katanya syarikat itu pada Rabu.
Melalui sistem berkenaan, pengguna hanya perlu mengimbas kod QR menggunakan mana-mana eWallet atau aplikasi perbankan yang menyokong piawaian DuitNow, dan palang pagar automatik akan terangkat sebaik pembayaran berjaya, tanpa memerlukan tiket atau kad fizikal.
Sementara tu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TimeTec, Teh Hon Seng, berkata pengenalan QRPay memberi nilai tambah kepada pilihan pembayaran sedia ada dalam industri parkir.
"QRPay diperkenalkan sebagai pilihan pembayaran selain daripada kad bank dan kad Touch ‘n Go. Kaedah baharu ini berpotensi menjadi lebih popular dalam industri parkir," katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pengguna yang telah memaut nombor plat kenderaan mereka dengan eWallet seperti Touch ‘n Go, Setel, GoNet atau aplikasi Flexi boleh menikmati pengalaman masuk dan keluar parkir tanpa perlu berhenti untuk membuat pembayaran.
"Melalui sistem eWallet Direct, caj parkir akan ditolak secara automatik daripada eWallet yang didaftarkan.
"Gabungan DuitNow QRPay dan eWallet Direct ini menetapkan penanda aras baharu dari segi kemudahan tanpa tunai serta kecekapan operasi dalam ekosistem parkir Malaysia," tambah Hon Seng.
Dalam pada itu, TimeTec menyasarkan pelaksanaan sistem tersebut diperluaskan kepada 100 lokasi parkir menjelang suku pertama 2026, termasuk mercu tanda negara, Menara Merdeka 118.
Setakat ini, sistem DuitNow QRPay telah berjaya diaktifkan di 10 lokasi parkir sekitar Lembah Klang, termasuk Zest Point, UTC Selangor, Stadium Chin Woo, USCI dan Link2 Bukit Jalil.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


