MALAYSIA
GSF: ABIM hargai diplomasi Anwar, cerminan komitmen tinggi perjuang prinsip kemanusiaan

Presiden ABIM berkata keberhasilan diplomasi ini mencerminkan komitmen tinggi Malaysia dalam memperjuangkan prinsip kemanusiaan dan solidariti sejagat terhadap rakyat Palestin. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kecekapan diplomasi beliau dalam memastikan keselamatan kesemua 23 aktivis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) terjamin dan kepulangan mereka berjalan lancar.
Ringkasan AI
- ABIM hargai kecekapan diplomasi Anwar Ibrahim dalam memastikan keselamatan dan kepulangan 23 aktivis Malaysia yang ditahan rejim Zionis semasa misi Global Sumud Flotilla (GSF).
- Proses pembebasan libatkan rundingan antarabangsa termasuk peranan Qatar, Turkiye, Jordan, serta koordinasi dengan pihak AS melalui Menteri Luar dan Menteri Dalam Negeri Malaysia.
- ABIM gesa Malaysia terus jadi pusat diplomasi kemanusiaan serantau, memperkukuh jaringan advokasi dan bantuan bersama masyarakat sivil serta dunia Islam.
Kesemua rakyat Malaysia yang ditahan rejim Zionis sejak Khamis berjaya dibebaskan dan berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel pada 6.45 petang waktu Malaysia sebelum tiba di Istanbul pukul 8.40 malam waktu Malaysia, semalam.
Perdana Menteri dalam siaran langsung menerusi Facebook semalam berkata proses pembebasan itu melibatkan koordinasi erat pada peringkat antarabangsa termasuk perbincangan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio dan kerajaan Jordan, serta Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama-sama Utusan Khas Amerika Syarikat ke Timur Tengah Steve Witkoff.
Anwar berkata kejayaan itu juga ialah hasil rundingan beliau sendiri bersama dengan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani serta Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan dan Ketua Keselamatan Negara Turkiye Dr Ibrahim Kalin.
Menurut Perdana Menteri, perancangan dan rundingan membawa pulang dan menyelamatkan mangsa tidak hanya terbatas kepada keselamatan delegasi Malaysia dan Turkiye, malah turut melibatkan aktivis dari Eropah serta negara lain.
Ahmad Fahmi berkata kejayaan diplomasi ini memperlihatkan Malaysia bukan sekadar melindungi rakyatnya, tetapi turut memainkan peranan sebagai suara moral di pentas antarabangsa dengan menegakkan keadilan, kemanusiaan dan solidariti sejagat terhadap penindasan di Palestin.
"Pendekatan ini wajar dijadikan asas untuk memperkukuh diplomasi kemanusiaan Malaysia bersama-sama masyarakat sivil serantau dan dunia Islam," katanya.
Beliau berkata ABIM turut merakamkan penghargaan atas kerjasama erat diberikan kerajaan Turkiye, pihak berkuasa antarabangsa serta badan kemanusiaan yang terlibat dalam proses menyelamat dan rawatan para aktivis Malaysia, termasuk bantuan psikologi dan kesihatan yang diberikan sebaik tiba di Istanbul.
Selain itu, beliau berkata ABIM turut menyarankan agar Malaysia terus menjadi pusat koordinasi diplomasi kemanusiaan serantau dengan melibatkan pertubuhan masyarakat sivil dan rakan-rakan antarabangsa bagi memperkukuh jaringan advokasi, bantuan serta misi kemanusiaan di bawah panji kemanusiaan sejagat.
Turut senada ialah Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang menyatakan bahawa kejayaan pembebasan para aktivis ini membuktikan diplomasi Malaysia bukan sahaja berprinsip, tetapi juga sangat berkesan.
"Ia manifestasi kepimpinan PMX (Anwar) yang berpaksikan nilai kemanusiaan serta komitmen kerajaan Malaysia MADANI dalam mempertahankan keamanan dunia," kata Presiden GPMS Fazreen Fauzi dalam kenyataan.
Beliau berkata GPMS juga menzahirkan setinggi-tinggi penghormatan dan tahniah kepada wira-wira kemanusiaan Malaysia dalam misi GSF yang telah menunjukkan keberanian, keikhlasan dan ketabahan luar biasa dalam menyebarkan mesej solidariti rakyat Malaysia kepada Palestin.
"Keberanian kesemua aktivis yang terlibat mencerminkan semangat Malaysia MADANI yang berpaksikan kasih sayang, keadilan dan perjuangan nilai kemanusiaan," katanya dan menambah bahawa GPMS berdiri teguh bersama-sama kepimpinan negara dan seluruh rakyat dunia dalam menyokong perjuangan membebaskan bumi Palestin.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami