MALAYSIA
GSF: Diplomasi Malaysia dipuji rakyat, keberanian luar biasa 23 sukarelawan jadi contoh

Semua aktivis warga Malaysia telah dibebaskan dan berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel pada 6.45 petang waktu Malaysia semalam sebelum tiba di Istanbul 8.40 malam tadi waktu Malaysia. - Foto Facebook Mohamad Hasan
KUALA LUMPUR: Kejayaan Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa pulang 23 rakyat Malaysia yang ditahan oleh rejim Zionis ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) bukan sahaja meredakan kebimbangan rakyat, tetapi juga membuktikan keberkesanan diplomasi negara di peringkat antarabangsa.
Ringkasan AI
- Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya membawa pulang 23 rakyat Malaysia yang ditahan Israel ketika menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF), membuktikan keberkesanan diplomasi negara.
- Rakyat Malaysia meluahkan rasa bangga terhadap keberanian sukarelawan dan menghargai usaha kerajaan memastikan keselamatan mereka serta memperjuangkan nasib Palestin.
- Semua 23 aktivis Malaysia telah dibebaskan dan selamat tiba di Istanbul selepas ditahan tentera Israel di perairan Mediterranean.
"Kejayaan ini membuktikan komitmen Malaysia yang sentiasa mengutamakan keselamatan rakyat dan berdiri teguh dalam memperjuangkan nilai kemanusiaan di peringkat antarabangsa," katanya ketika ditemui Bernama.
Siti Ayuni Johar, 24, turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan atas usaha diplomasi antarabangsa itu yang sekali gus membuktikan kemampuan Malaysia memainkan peranan penting dalam isu global.
"Saya mahu ucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan Malaysia atas usaha membawa pulang semua 23 aktivis GSF Malaysia," katanya.
Mohd Syukri Mohd Salleh, 36, pula menyifatkan langkah membawa pulang aktivis terbabit sebagai tindakan tepat bagi mengelak ketegangan berpanjangan selain memastikan keselamatan rakyat Malaysia sentiasa menjadi keutamaan.
"Saya tidak menidakkan misi Sumud itu adalah misi yang baik, tetapi jika melibatkan soal keselamatan, tindakan kerajaan untuk bawa balik adalah langkah terbaik," katanya.
Dalam pada itu, Siti Nur Shakina Daud, 23, berkata misi GSF mempunyai nilai besar kerana berjaya mengangkat suara kemanusiaan untuk Palestin meskipun berdepan risiko yang tinggi.
Tindakan sukarelawan yang berani menyertai misi itu, katanya wajar dihargai kerana ia mencerminkan keberanian rakyat Malaysia dalam menegakkan keadilan serta menyuarakan solidariti terhadap nasib rakyat Palestin di Gaza.
Sementara itu, Nurul Raihan Nabila Hashim, 24, menyifatkan misi itu satu langkah yang baik dalam menzahirkan sokongan kepada rakyat Palestin.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada 23 sukarelawan kita kerana keberanian luar biasa mereka, dan pada masa sama kepada Kerajaan Malaysia kerana mengambil langkah tepat dan pantas dalam memastikan kesemua mereka (sukarelawan) pulang ke tanah air dengan selamat," katanya.
Pada Khamis lepas, 23 aktivis rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas ketika berada di perairan Zon Merah R3, di Laut Mediterranean seterusnya dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.
Semua aktivis warga Malaysia telah dibebaskan dan berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel pada 6.45 petang waktu Malaysia semalam sebelum tiba di Istanbul 8.40 malam tadi waktu Malaysia.
GSF disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel, sambil menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami