SEPANG: Kerajaan akan terus menyokong pelaksanaan misi kemanusiaan Global Sumud Flotila (GSF), walaupun berdepan pelbagai cabaran.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan mengiktiraf pengorbanan para aktivis yang sanggup meluangkan masa serta meninggalkan keselesaan demi menyertai usaha kemanusiaan itu.
Advertisement
Katanya, penyertaan secara sukarela ini membuktikan keberanian mereka berdepan risiko demi membantu pihak yang memerlukan.
"Kita berbangga dengan penyertaan aktivis yang datang secara sukarela bagi menyertai misi sekali gus mendedahkan mereka dengan risiko bahaya.
"Malah, Malaysia adalah satu-satunya negara yang memberi pengiktirafan misi kemanusiaan ini selaku negara dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) selaku penaung sekali gus menarik perhatian negara lain," katanya pada sidang media di Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), pada Isnin.
Turut hadir, Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby.
Tambah beliau, Malaysia sebelum ini telah menghantar 130 kontena bantuan yang mengandungi lebih 300 tan barangan ke Gaza, termasuk bekalan daging dalam tin menjelang Ramadan dan Aidilfitri.
Jelasnya, penghantaran bantuan tersebut melibatkan kerjasama pelbagai pihak bagi memastikan ia dapat sampai ke destinasi.
"Bantuan itu diaturkan ramai pihak bagi membolehkan ia sampai ke Gaza. Dalam usaha memastikan bantuan itu sampai, kita perlu mematuhi protokol dan menghormati undang-undang di negara yang terbabit," katanya.
Tambahnya, kerajaan sentiasa memantau perkembangan misi tersebut melalui laporan harian yang disalurkan kepadanya serta Jemaah Menteri.
"Setiap hari, saya dapat laporan dan Jemaah Menteri juga dimaklumkan oleh Datuk Sani atau saya sendiri.
"Ini bukan lakonan, ia adalah misi ikhlas dilakukan ramai aktivis dari seluruh dunia yang menerima banyak sokongan kuat bagi misi flotila kali ini," katanya lagi.