MALAYSIA
Guinea-Bissau berpotensi jadi pintu masuk Malaysia ke benua Afrika - PM Anwar

Perdana Menteri Anwar (kanan) menyambut kunjungan Presiden Umaro Sissoco Embalo di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, pada Khamis. - Gambar Facebook Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA: Guinea-Bissau berpotensi menjadi pintu masuk strategik Malaysia ke Afrika, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menyifatkan, lawatan rasmi Presiden negara itu, Jeneral Umaro Sissoco Embalo ke Malaysia akan menjadi pemangkin kepada kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang.
“Guinea-Bissau boleh menjadi rakan utama kita di Afrika Barat dan seluruh benua Afrika. Malaysia pula boleh menjadi hab Guinea-Bissau untuk rantau ASEAN,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan mesyuarat dua hala bersama Embalo, di sini, pada Rabu.
Anwar berkata, Malaysia turut mengalu-alukan penglibatan syarikat-syarikat utama seperti Petronas dan FGV bagi meneroka peluang pelaburan antara kedua-dua negara dan seterusnya memperluaskan pasaran di benua Afrika.Dalam pada itu, Perdana Menteri menjelaskan, antara bidang kerjasama yang diberi keutamaan ialah produk halal, kewangan Islam, pendidikan, semikonduktor, minyak dan gas serta teknologi makanan.
“Malaysia juga akan tawarkan latihan dan bantuan teknikal melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) dan beberapa agenda yang akan diselaras Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani” ujarnya.
Anwar turut menekankan, pendekatan dasar luar Malaysia yang berkecuali sejajar dengan prinsip Embalo yang mempunyai hubungan baik dengan pelbagai negara kuasa besar.
“Embalo selesa bekerjasama dengan semua negara, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Perancis, Rusia, Amerika Syarikat dan negara-negara Afrika. Pendekatan ini serasi dengan dasar Malaysia dan ASEAN,” katanya.
Dalam nada mesra, Anwar menyifatkan lawatan Embalo sebagai permulaan untuk jalinan hubungan yang lebih rapat dengan menyambut beliau sebagai “ahli keluarga baharu” Malaysia.
Terdahulu, Embalo diberi sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra, di sini, pada Rabu sempena lawatan rasmi tiga hari beliau ke Malaysia yang akan berakhir Khamis ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami