Jabatan Meteorologi telah diminta untuk menghantar peralatan pengesan angin ke lokasi kejadian di mana berlaku pencemaran toksik akibat pembuangan bahan kimia di Sungai Kim Kim di sini.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata ia bagi membantu mengesan arah angin, sekali gus memudahkan tahap pencemaran angin dikesan.

“Saya telah minta Jabatan Meteorologi untuk menghantar peralatan pengesan angin supaya kita dapat jangkakan arah angin, sekali gus membantu kita untuk mengenal pasti tahap pencemaran.

“Apa yang penting, petugas yang akan masuk perlu mengenakan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) untuk keselamatannya. Kita mahu cuci toksik itu secepat mungkin, dengan semua terbabit selamat,” katanya.



Pada Rabu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengingatkan orang ramai terutama yang tinggal di kawasan Pasir Gudang supaya melakukan pencegahan dengan mengelak daripada berada di kawasan kejadian serta memakai topeng muka jenis R95.

"Kita dapati antara beberapa faktor pencemaran kimia itu tersebar dengan kelajuan angin dan arah angin, dalam radius lima kilometer pun boleh kena bahan bahaya toksik ini," katanya.

Keadaan itu menyebakan kerajaan negeri meluluskan peruntukan kecemasan sebanyak RM6.4 juta sebagai bantuan segera untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan dan kepada mangsa dan keluarga serta kakitangan keselamatan yang terdedah dengan bahaya pencemaran itu.

Dalam perkembangan sama, Menteri Besar Datuk Osman Sapian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, setakat ini keadaan terkawal dan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di kawasan itu.