KUALA LUMPUR: Tiga individu termasuk Inspektor dan Sarjan ditahan kerana menggunakan nama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta suapan sejumlah RM100,000 daripada seorang pegawai polis kononnya bagi menutup kes yang sedang disiasat SPRM.

Menurut sumber, seorang lagi suspek yang ditahan merupakan pengurus pentadbiran syarikat yang berperanan sebagai orang tengah bagi 'urusan' itu.

Katanya, pengurus syarikat itu ditahan pagi Jumaat di sekitar Kuala Lumpur ketika sedang menerima wang rasuah berjumlah RM50,000 iaitu sebahagian daripada jumlah yang diminta daripada mangsa.

Susulan itu, SPRM menahan inspektor dan sarjan polis yang berusia lingkungan 30-an itu antara pukul 7 petang dan 12 tengah malam pada hari yang sama.

Pengurus syarikat tersebut direman selama empat hari sehingga 12 September depan selepas pihak SPRM membuat permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Bagaimanapun, difahamkan pegawai dan anggota polis tersebut telah dibebaskan setelah keterangan mereka diambil.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi di sini pada Sabtu mengesahkan mengenai penahanan tersebut.

Kes itu katanya, disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.