IPOH: Perasaan bersalah kerana menangguhkan permintaan untuk menggunting rambut neneknya lapan tahun lepas menjadi titik tolak perubahan kepada Ezuan Husaini Rosli sebagai pendandan rambut.
Berkongsi pengalaman tersebut kepada Bernama, Ezuan Husaini, 33, berkata, segalanya bermula selepas dia meluangkan masa memenuhi hajat neneknya yang berusia 80 tahun dan uzur untuk memotong rambut, namun sejam kemudian insan kesayangannya itu meninggal dunia kerana sesak nafas.
Advertisement
"Peristiwa pada 2018 itu memberi kesan besar pada saya. Abah cakap nasib baik saya sempat potong rambut (nenek), tapi walaupun sempat potong saya terkilan sebab sebelum itu dia telah meminta kepada saya banyak kali," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Sedih dan terkilan dengan kejadian itu, pemegang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dalam bidang dandanan rambut ini bertekad mengabdikan kemahirannya secara percuma untuk membantu mereka yang uzur atau tiada harapan sembuh daripada penyakit.
Bagi bapa kepada dua cahaya mata itu, harapannya adalah untuk memastikan mereka yang disantuni terutama pesakit kanser, tumor dan warga emas yang terlantar akibat sakit tua berada dalam keadaan kemas dan terurus sebelum “pergi”, yang dianggap sebagai “saham akhirat” buat dirinya.
Ezuan Husaini berkata, maklumat mengenai pesakit biasanya diperoleh daripada ibunya, saudara-mara atau kenalan, malah ada juga waris atau pesakit sendiri yang menghubunginya untuk meminta bantuan.
Berkongsi pengalaman lain, Ezuan Husaini berkata, peristiwa memotong rambut Allahyarham bekas guru, Nassry Mardee Ismail atau lebih mesra disapa 'Cikgu E' yang meninggal dunia akibat tiga jenis kanser tahun lepas, turut memberi kesan mendalam kepada dirinya.
"Sambil menggunting rambut arwah, saya mendoakan supaya setiap helaian rambut yang jatuh adalah seperti jatuhnya dosa-dosa 'Cikgu E', sambil menginsafi diri betapa nyawa kita adalah milik Allah jua," katanya.
Bercerita lanjut, Ezuan Husaini berkata, minat untuk menjadi pendandan rambut bermula sejak di bangku sekolah rendah lagi ketika berusia 11 tahun selepas sering didedahkan mengenai penggayaan rambut oleh bapa saudaranya.
Memulakan perniagaan Moss Barbershop pada 2015, dia berkata, bakat menggunting rambut disedari seawal usia 13 tahun apabila diminta oleh seorang senior sekolah untuk merapikan rambut bagi tujuan pertandingan kawad kaki.
“Dia hendak rambut dia macam polis. Saya tiada pengalaman, jadi saya ambil gunting biasa yang berharga RM5 itu dengan sikat dan tidak disangka ia menjadi, senior itu pula puas hati,” katanya.
Bagi penduduk di sekitar Ipoh yang memerlukan khidmat amal Ezuan Husaini boleh menghubungi talian 016-9224042 untuk janji temu.
-- BERNAMA