Mahkamah Sesyen di sini hari ini, melepas dan membebaskan seorang guru bahasa Inggeris dan Tamil daripada tuduhan memiliki kertas soalan bocor bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014.

Keputusan kes tersebut dibacakan Hakim Niran Tan Kran selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie mengikut Seksyen 8(1)(c)(iii) Akta Rahsia Rasmi 1972 selepas 20 hari perbicaraan.

Tertuduh, P. Uma Mageswari, 28, didakwa memiliki beberapa kertas soalan bagi subjek Sains UPSR dalam telefon bimbit, di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Keruh, Pengkalan Hulu tempat beliau mengajar sebelum ini, pada 10 Sept 2014.

Niran ketika membacakan keputusan kes berkata Uma Mageswari telah menerima watikah sebagai pegawai bertanggungjawab mengendalikan kertas soalan UPSR pada 23 Ogos 2011 daripada Kementerian Pelajaran pada ketika itu.

"Bagaimanapun, pada 2013 nama kementerian ditukar kepada Kementerian Pendidikan sekali gus watikah lama tidak lagi terpakai serta batal.

"Selain daripada itu, watikah pelantikan tersebut juga tidak ditandatangani oleh menteri bertanggungjawab pada ketika itu (2011) iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin sebaliknya hanya mempunyai cop tandatangan (rubber stamp)," katanya.

Mahkamah turut memerintahkan telefon bimbit milik Uma Mageswari yang dijadikan barang kes serta wang jaminan RM3,000 dikembalikan kepada tertuduh.

Tertuduh diwakili peguam, M. Kulasegaran dan Augustine Anthony, manakala pihak pendakwaan diwakili N. Jayanthi.

Uma Mageswari ketika ditemui pemberita kemudiannya melahirkan rasa lega dan berharap dapat kembali semula mengajar setelah digantung tugas selama lebih setahun.