KUALA TERENGGANU: Seorang guru dan rakannya dijatuhi hukuman penjara lapan tahun serta denda RM5,000 setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, selepas didapati bersalah memperdagangkan seorang wanita bagi tujuan eksploitasi seks dua tahun lepas.
Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Hasfyanizam Mansor, 50, dan rakannya Mohamad Fazley Jaafar, 31, yang bekerja sebagai buruh pada akhir kes pembelaan hari ini.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-duanya dipenjara enam bulan lagi sekiranya gagal membayar denda.
Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa memperdagangkan seorang wanita tempatan berusia 29 tahun bagi tujuan eksploitasi seks dengan cara menyalahgunakan kedudukan mangsa yang mudah terdedah kepada bahaya perbuatan pemerdagangan orang.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah kondominium di Jalan Sultan Omar di sini pada 2.35 pagi 11 Mac 2024, mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, peguam Mohd Shahir Mat Jusoh daripada Tetuan Ghazali & Co memohon hukuman yang minimum dengan alasan kedua-dua anak guamnya merupakan ketua keluarga dan menanggung keluarga masing-masing selain hukuman berat akan memberi kesan kepada ahli keluarga terutama anak-anak mereka.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Hafizudin Manjur Ahmad memohon hukuman berat dan setimpal dikenakan dengan mengambil kira Mohd Hasfyanizam yang merupakan seorang guru sepatutnya menjadi contoh kepada masyarakat, namun sebaliknya terlibat dalam perbuatan jenayah berkenaan.
“Pihak pendakwaan berharap agar satu hukuman berat dijatuhkan kepada kedua-dua OKT (Orang Kena Tuduh) agar mereka dapat berfikir, bermuhasabah dan menjadikan hukuman tersebut sebagai titik tolak untuk mereka berubah menjadi insan yang lebih baik dan berguna kepada masyarakat pada masa hadapan,” katanya.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Mohd Zul Zakiqudin berkata mahkamah berharap hukuman yang dikenakan itu dapat menginsafkan kedua-dua tertuduh.
Pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noradila Abdul Latif.
-- BERNAMA