MALAYSIA
Guru pakar rujuk terbaik untuk maklumat janaan AI - Fadhlina

Fadhlina bercakap kepada pemberita pada Majlis Anugerah DUTA 2024 Peringkat Kebangsaan, hari ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan sedang giat merangka dan melaksanakan pelbagai inisiatif yang berteraskan kecerdasan buatan (AI), demi memperkasakan pengajaran dan pembelajaran di sekolah, kata menterinya Fadhlina Sidek.
Bagaimanapun, beliau berkata maklumat yang dijana oleh teknologi AI tetap memerlukan pengesahan oleh manusia yang mahir dan dalam konteks pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, guru merupakan pakar rujuk terbaik.
"Inti pati daripada pelbagai laporan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) juga secara konsisten menegaskan bahawa teknologi harus dilihat sebagai alat sokongan kepada pendidikan," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Digital Utilisation and Technology Awards (DUTA) Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di sini, hari ini.
Fadhlina berkata transformasi digital dalam sistem pendidikan negara perlu terus berpaksikan kepada pembangunan modal insan dan peningkatan profesionalisme guru.Beliau berkata transformasi teknologi hanya bermakna jika disokong oleh guru yang berilmu, kreatif dan berjiwa pendidik.
Mengenai majlis hari ini, Fadhlina berkata dua guru hebat dinobatkan sebagai Ikon Guru Digital dan menyifatkannya sebagai contoh serta inspirasi kepada warga pendidik yang lain, untuk terus mengorak langkah menjadi pemangkin utama transformasi pendidikan digital dalam negara.
Majlis tersebut menyaksikan pengiktirafan kepada dua guru iaitu Mohammad Aliff Halmi dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tampang, Pulau Pinang sebagai Ikon Guru Penyelaras Teknologi, Komunikasi dan Maklumat (ICT) dan El Gamillo Habibun Tan dari SK Bukit Gasing, Terengganu sebagai Ikon Guru Peneraju Generasi Digital dan masing-masing membawa pulang RM800 serta trofi.
Kategori Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) pula menyaksikan Perlis dinobatkan sebagai johan, diikuti Terengganu di tempat kedua dan Pulau Pinang di tempat ketiga.
Kategori Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) terbaik pula dimenangi PPD Dungun, diikuti PPD Batu Pahat di tempat kedua dan PPD Alor Gajah (ketiga).
Pemenang tempat pertama bagi kedua-dua kategori membawa pulang trofi serta sebuah tablet sumbangan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia.
Majlis DUTA 2024 adalah antara usaha berterusan KPM bagi memastikan pemerkasaan penggunaan teknologi digital secara inovatif, kreatif dan beretika dalam pengajaran dan pembelajaran melalui penganugerahan pencapaian dan kejayaan murid, guru dan pemimpin pendidikan.
Mula diperkenalkan pada tahun 2020, majlis tersebut menjadi platform penyampaian penghargaan dan pengiktirafan tertinggi secara langsung kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), sekolah, guru dan murid atas kecemerlangan dan komitmen menjayakan inisiatif pemerkasaan pendidikan digital.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami