KUCHING: Dua sekolah menengah kebangsaan (SMK) di Lawas iaitu SMK Trusan dan SMK Merapok ditangguh pembukaan sesi pembelajaran bersemuka ekoran guru positif COVID-19.

Timbalan Menteri Pelajaran II, Datuk Mohamad Alamin memaklumkan mereka melibatkan seorang guru di SMK Trusan dan dua lagi di SMK Merapok selepas menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum sekolah dibuka.

Menurutnya, kedua-dua sekolah itu ditutup sehingga 6 Oktober ini.

"Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan sentiasa memantau keselamatan dan kesihatan pelajar, guru serta kakitangan lain di sekolah bagi menjaga kesejahteraan bersama," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Taman Matang Jaya dan SMK St Thomas di Kuching.

Mohamad menambah, KKM dan Jabatan Pendidikan Sarawak menerusi Pejabat Pendidikan Daerah Lawas akan memantau perkembangan dua sekolah itu.

Malah, beliau berharap penutupan sekolah itu tidak berpanjangan dan boleh dibuka semula secepat mungkin memandangkan SMK Merapok adalah sekolah berasrama selain para pelajar sudah berada di sekolah.

"Ibu bapa tidak perlu khuatir dan bimbang untuk menghantar anak-anak kembali ke sekolah kerana pihaknya akan sentiasa memantau dan akan bertegas dengan garis panduan yang telah dikeluarkan," katanya.