ALOR GAJAH: Seorang guru mengalami kerugian RM37,750 akibat terpedaya dengan penipuan jualan tidak wujud melibatkan seekor kucing baka Munchkin di Facebook.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supt Arshad Abu berkata, wanita berusia 39 tahun yang tinggal di Alor Gajah itu pada mulanya tertarik dengan iklan jualan kucing baka berkenaan yang ditawarkan pada harga RM600 di platform media sosial itu pada 23 Ogos lepas.

"Mangsa kemudian diminta membayar deposit berjumlah RM300 ke akaun bank yang diberikan sindiket penipuan berkenaan.

"Wanita itu kemudian diminta membuat beberapa bayaran berperingkat (kononnya) bagi tujuan lesen Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan), kos penerbangan dari luar negara serta lesen import kucing dengan jumlah keseluruhan RM37,750 dalam tempoh tiga hari bermula 24 Ogos lepas," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, apabila guru itu menyedari ditipu selepas melakukan transaksi berkenaan, wanita itu telah membuat laporan polis di Balai Polis Alor Gajah, semalam dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

"Orang ramai dinasihatkan berwaspada, dan segera menelefon Pusat Respons Scam Kebangsaan di talian 997 agar tindakan pantas menyekat wang yang dipindahkan kepada sindiket penipuan dapat dilakukan," katanya. - BERNAMA