KANGAR: Kumpulan guru yang menolak suntikan vaksin COVID-19 di Perlis, masih kekal dengan jumlah sama, iaitu 26 orang.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis, Naharudeen Othman berkata, pihaknya akan memberi sedikit lagi masa untuk kumpulan itu terbuka hati menerima vaksinasi, kerana sebahagian daripada mereka mengalami masalah kesihatan dan sedang dalam rujukan pihak hospital.

Buat masa ini, JPN Perlis masih mengambil pendekatan berhemah dengan memberi penjelasan dan penerangan berkenaan vaksinasi untuk memberi kefahaman yang jelas kepada guru yang menolak vaksinasi tanpa alasan kesihatan.

“Bilangan itu masih kekal tetapi kita juga ada bilangan yang mengalami masalah kesihatan dan sebagainya. Dan mereka ini telah dirujuk kepada hospital," katanya.

Ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis pada Ogos, Exco Pendidikan Rozieana Ahmad mendedahkan, seramai 26 guru, dipercayai turut melibatkan seorang pengetua sekolah di Perlis, masih ragu-ragu dan menolak untuk menerima vaksin COVID-19.

Bagaimanapun pada awal September, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin memaklumkan, guru yang belum atau enggan menerima vaksin COVID-19 tetap perlu ke sekolah seperti biasa dan melakukan tugasan kecuali mengajar secara bersemuka.

BACA: Guru yang enggan dan belum vaksin duduk santai? Tidak! - Radzi Jidin

Malah KPM akan berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenai tindakan yang boleh diambil ke atas kumpulan guru enggan menerima suntikan vaksin COVID-19 ini.

BACA: JPA kemuka cadangan tindakan terhadap penjawat awam enggan divaksinasi kepada MKN

BACA: KPM akan tentukan tindakan sesuai kepada guru yang enggan divaksin - Radzi Jidin