KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menyelar tindakan pihak tertentu yang menyebarkan poster mengandungi fitnah kononnya beliau mengarahkan tentera siber penyokong kerajaan mencipta naratif jahat untuk menyalahkan PAS dalam isu pembatalan Festival Good Vibes 2023 (GVF23).

Menerusi hantaran di media sosial, Fahmi memaklumkan telah mengarahkan pejabatnya untuk membuat laporan berhubung penyebaran poster itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta Polis Diraja Malaysia.

"Di hari kita semua bersedih kehilangan seorang rakan seperjuangan yang baik, ada yang masih sempat dan tak takut melakukan fitnah.

"Bagaimana pereka poster ini boleh dengan tidak ada rasa takut akan undang-undang mahu pun akhirat, membuat fitnah secara terbuka seperti ini. Semoga Allah SWT sentiasa melindungi kita daripada fitnah dan para pemfitnah ini," katanya.

Poster itu antara lain mendakwa Fahmi mengarahkan supaya PAS ditonjolkan sebagai parti ekstrem, sebagai langkah terdesak beliau yang meluluskan permit The 1975, kumpulan yang melakukan aksi tidak senonoh dan biadab ketika membuat persembahan di GVF23.

Fahmi berkata permohonan permit kumpulan The 1975 oleh penganjur GVF23 telah ditolak oleh Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) pada 23 Jun lepas susulan rekod buruk mereka.

Katanya bagaimanapun pada 16 Julai lepas, penganjur telah membuat rayuan dan jaminan bertulis termasuk daripada pengurus kumpulan itu untuk bertanggungjawab sepenuhnya atas persembahan The 1975 dan PUSPAL menerimanya berdasarkan jaminan tersebut.

Beliau berkata namun The 1975 telah melakukan aksi sangat biadab ketika persembahan Jumaat lepas pada kira-kira 11 malam, yang antara lain menyaksikan vokalisnya, Matty Healy memegang botol arak ketika di atas pentas selain berkelakuan lucah serta membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Fahmi berkata beliau telah mengambil tindakan segera dengan mengutuk keras aksi biadab The 1975 di Twitter serta memanggil penganjur untuk memberi penjelasan sehari selepas itu dan mereka mengaku bersalah serta mengambil tanggungjawab sepenuhnya.

Katanya arahan pembatalan GVF23 yang masih berbaki dua hari turut dikeluarkan pada 1 tengah hari Sabtu iaitu kira-kira 14 jam selepas insiden biadab itu.

-- BERNAMA