KUALA TERENGGANU: Keadaan kesihatan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan semakin pulih.

Perkara itu dikongsikan Setiausaha Politik beliau, Mohd Syahir Che Sulaiman menerusi akaun Instagram (Instastory) hari ini.

"Alhamdulillah, keadaan Tok Guru makin baik, sudah pulih dan dalam pemantauan (doktor). Masa terluang (Tok Guru) diisi dengan membaca dan menulis. Beliau sedang menyiapkan dua artikel baharu selain turut berbincang hal-hal semasa," katanya.

Menurut Ahli Parlimen Bachok itu juga, Abdul Hadi turut mengirimkan salam kepada semua serta berterima kasih atas doa dan ingatan ke atasnya.

Semalam, kesihatan Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang dilaporkan merosot dan dimasukkan ke hospital di sini bagi menerima rawatan.

Perkara itu dimaklumkan anaknya, Muhammad Khalil menerusi hantaran di laman Facebooknya pagi semalam.

Dalam hantaran sama, Muhammad Khalil turut memaklumkan ayahnya berada dalam keadaan uzur sejak hadir ke pelancaran jentera pilihan raya Pemuda Pas Terengganu di Marang pada 27 Jun lepas.

-- BERNAMA