KOTA KINABALU: Sebanyak 6,171 pelajar ditawarkan melanjutkan pengajian ke program prasiswazah Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi kemasukan sesi 2026/2027 yang mula mendaftar hari ini.
UMS dalam kenyataan hari ini memaklumkan sebanyak 5,251 pelajar mendaftar di UMS Kampus Kota Kinabalu, 698 di UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) manakala 222 pelajar lagi di Fakulti Pertanian Lestari Kampus Sandakan.
Pelajar tempatan pula merangkumi 4,325 dari Sabah, 1,021 dari Semenanjung Malaysia, 529 dari Sarawak dan 81 dari Wilayah Persekutuan Labuan.
"Selebihnya sebanyak 215 pelajar antarabangsa dari 12 buah negara, iaitu China, Jepun, Korea Selatan, Sweden, Arab Saudi, Yemen, Bangladesh, Pakistan, India, Indonesia, Filipina dan Timor Leste," menurut kenyataan itu.
UMS memaklumkan pengambilan sesi ini merangkumi tawaran prasiswazah laluan khas UMS, iaitu 3,380 pelajar B40 ambilan UPUonline, 14 pelajar Orang Kurang Upaya (OKU), lapan Orang Asli, dan 15 atlet sukan.
Proses pendaftaran yang berlangsung selama dua hari hingga esok berjalan lancar di setiap kolej kediaman hasil susunan masa berperingkat bagi mengelakkan kesesakan, dengan bantuan sukarelawan Pembimbing Suai Mesra (PSM).
Kesemua mahasiswa baharu akan mengikuti program Minggu Suai Mesra (MSM) selama seminggu bermula 14 Sept ini sebagai persiapan menyesuaikan diri dalam suasana kehidupan kampus.
Tinjauan mesra pendaftaran turut disertai pimpinan UMS antaranya Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Prof Datuk Dr Rossita Shapawi dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Dr Raman Noordin.
-- BERNAMA