SEPANG: Hafizul Hawari yang terlibat dalam kejadian melepaskan tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas dua pertuduhan cuba membunuh isterinya, Farah Cie dan menyebabkan cedera parah terhadap seorang pengawal peribadi, dua minggu lalu.

Hafizul, 38, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Dr Azrol Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama, pengurus syarikat agensi pelancongan berkenaan didakwa cuba membunuh ahli perniagaan, Farah Md Isa, 38, di balai ketibaan lapangan terbang itu, pada jam 1.09 pagi, 14 April lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama 10 tahun dan denda, namun jika menyebabkan kecederaan hendaklah dipenjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, bapa kepada tujuh anak itu didakwa sengaja menyebabkan cedera parah terhadap Mohd Nur Hadith Zaini, 38, menggunakan pistol yang boleh menyebabkan kematian, di lokasi, masa dan tarikh sama.

Bagi kes berkenaan, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Haron tidak mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin kerana lelaki itu mempunyai risiko untuk melarikan diri.

Beliau yang juga Pengarah Pendakwaan Selangor berkata, pada Rabu, tertuduh ini telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan atas beberapa pertuduhan antaranya memiliki senjata api dan dia tidak dibenarkan untuk diikat jamin.

"Mangsa dalam pertuduhan pertama merupakan isteri tertuduh dan hasil siasatan awal polis, lelaki itu ingin keluar dari Malaysia melalui sempadan tidak sah," katanya yang turut disertai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Mukhzany Faris Mohd Mokhtar dan Norsyazwani Abdullah.

Bagaimanapun, peguam, Muhammad Naim Mahmud yang mewakili tertuduh, merayu agar hak anak guam untuk dilepaskan menggunakan ikat jamin, tidak dinafikan.

Menurutnya, mahkamah mempunyai kuasa penuh untuk menganugerahkan ikat jamin kepada Hafizul.

"Dia mempunyai ibu bapa yang tua, menjaga tujuh anak, yang mana bongsu baru sahaja berusia tiga tahun.

"Ketika tangkapan kes di Kota Bharu, dia mengaku masih menyayangi isterinya jadi mungkin tiada sebarang isu terhadap pengadu atau keluarga," kata Muhammad Naim bersama seorang lagi peguam, Mohammad Shafik Mohammad Lazim.

Selain itu beliau berkata, pembelaan tidak membantah jika anak guamnya dikenakan syarat tambahan sebagai jaminan Hafizul hadir ke mahkamah di setiap tarikh prosiding.

Menyentuh isu risiko untuk melarikan diri, Muhammad Naim berkata, hujahan pihak pendakwaan hanyalah keterangan berdasarkan dengar cakap.

Setelah meneliti permohonan daripada kedua-dua pihak, hakim berkata, kes yang dipertuduhkan adalah serius, maka sebarang pemohonan jaminan perlu penelitian yang lebih mendalam.

"Mahkamah mendapati, tiada alasan kukuh untuk mempertimbangkan permohonan berkenaan, oleh itu tiada jaminan diberi kepada tertuduh," katanya.

Mahkamah menetapkan 11 Jun untuk sebutan semula kes.

Pada Rabu, Hafizul didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, atas tujuh pertuduhan, iaitu memiliki pistol, peluru, mercun bola, tiga MyKad milik individu berbeza dan memandu kereta jenis Honda Civic menggunakan nombor pendaftaran palsu, berdekatan sebuah hospital swasta daerah itu, pada jam 2 petang, 15 April lalu.

Dia tidak dibenarkan untuk diikat jamin bagi pertuduhan memiliki pistol, peluru dan mercun bola, namun dibenarkan untuk dijamin sebanyak RM20,000 bagi empat pertuduhan lain.

Mahkamah itu turut membenarkan tertuduh ditempatkan ke Penjara Sungai Buloh.

Pada 14 April lalu, seorang lelaki bertindak nekad melepaskan tembakan ke arah isterinya sebelum terkena pengawal peribadi wanita itu di Balai Ketibaan KLIA, di sini.

Mangsa mengalami kecederaan di bahagian perut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Suspek terus melarikan diri sebelum diberkas pihak polis di Kota Bharu, sehari kemudian. - Sinar Harian