MELAKA: Hajat seorang lelaki untuk pulang ke kampung mentua bersama isteri dan anak tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di Kilometer 215.1 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, di sini, pada Selasa.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi, kereta Proton Wira dipandu mangsa, Nor Azli Abdul Fattah, 25, bersama isteri, Isma Zaria Alhamlima, 25; abang, Mohammad Fouzi Abd Fattah, 33, dan anak, Muhammad Adwa Iman, dua tahun terbabas sebelum dirempuh sebuah lori dipandu lelaki berusia 54 tahun.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, mereka sekeluarga dari Bandar Sunway, Selangor dalam perjalanan ke kampung isteri mangsa di Batu Pahat, Johor.

Menurutnya, setiba di lokasi kejadian, kereta dipandu mangsa hilang kawalan lalu merempuh besi penghadang jalan di sebelah kiri lebuh raya sebelum berpusing.

“Lori yang datang arah sama tidak sempat mengelak kejadian itu merempuh kereta terbabit dan menyeret kenderaan itu dari lorong sebelah kiri ke lorong sebelah kanan.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala abang mangsa dirawat di zon merah dan masih tidak sedarkan diri.

"Isteri mangsa cedera di bahu manakala anaknya tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat sebelum dituntut waris keluarga, manakala pemandu serta kelindan lori tidak mengalami kecederaan," katanya.

Kes disiasat di bawah Sekyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

*Berita asal di Sinar Harian