MALAYSIA
Hajiji serah 200 lembu korban sempena Aidiladha

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor pada majlis penyampaian sumbangan lembu korban kepada masjid dan surau daerah Tuaran di Pusat Kebudayaan Bajau Sama Lok Batik Tuaran hari ini. - Foto Bernama
TUARAN: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor hari ini menyerahkan sebanyak 200 ekor lembu korban sempena sambutan Aidiladha yang bakal diraikan Sabtu ini, kepada wakil masjid dan surau dalam kawasan Parlimen Tuaran.
Ringkasan AI
- Sumbangan kepada komuniti: Sebanyak 200 ekor lembu korban diserahkan kepada wakil masjid, surau, jabatan kerajaan, agensi Persekutuan dan negeri serta badan bukan kerajaan di kawasan Parlimen Tuaran.
- Makna ibadah korban: Hajiji menekankan bahawa Aidiladha bukan sekadar perayaan, tetapi satu penghayatan terhadap nilai pengorbanan, keikhlasan dan kepedulian, serta memperkukuh semangat perpaduan dalam masyarakat.
- Pelaksanaan dan pengagihan: Sebanyak 42 petugas digerakkan untuk membantu proses penyerahan lembu korban, manakala penyembelihan dan pengagihan daging akan dilakukan oleh pihak masjid dan surau yang terlibat.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Hajiji berkata ibadah korban bukan sahaja melambangkan ketaatan kepada Allah SWT, malah menjadi medium memperkukuh semangat perpaduan, kesatuan dan budaya saling membantu dalam kalangan masyarakat.
"Aidiladha bukan sekadar perayaan, ia satu penghayatan terhadap nilai pengorbanan, keikhlasan dan kepedulian.
"Kita berharap sumbangan ini bukan sahaja membolehkan ibadah korban dilaksanakan, malah dapat memeriahkan sambutan Aidiladha di kawasan masing-masing, di samping memastikan daging korban diagihkan kepada golongan yang kurang berkemampuan," katanya.
Sementara itu, Pegawai Tadbir Agama Tuaran Mohd Hailmi Misbah berkata pihaknya menggerakkan seramai 42 petugas bagi membantu proses penyerahan lembu korban, khususnya ke masjid dan surau yang terlibat, bermula Selasa lepas.
"Pelaksanaan ibadah korban akan dilakukan oleh ahli jawatan kuasa masjid dan surau masing-masing. Kita hanya menyerahkan sumbangan, manakala proses penyembelihan dan pengagihan daging korban akan dilaksanakan oleh pihak masjid dan surau terbabit," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami