Skip to main content

Malaysia

Kajian kerugian pesawah dijangka siap akhir November

Luqman bercakap pada sidang media ketika lawatan ke Kilang Padi Darul Naim Sdn Bhd di Mukim Tasek Berangan di Pasir Mas pada Rabu. -  Foto FB KPKM
Luqman bercakap pada sidang media ketika lawatan ke Kilang Padi Darul Naim Sdn Bhd di Mukim Tasek Berangan di Pasir Mas pada Rabu. - Foto FB KPKM

Advertisement

Advertisement

PASIR MAS: Kajian mengenai dakwaan kerugian pesawah akibat kelewatan bekalan baja dijangka selesai pada akhir November sebelum cadangan berkaitan pampasan dikemukakan kepada kerajaan untuk pertimbangan.

Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Luqman Ahmad berkata, penilaian itu dibuat berdasarkan rekod jualan serta hasil padi di lapangan bagi mengenal pasti kesan sebenar terhadap pesawah.

Menurutnya, perbandingan awal hasil padi bagi musim pertama 2026 dengan musim sama tahun lalu menunjukkan peningkatan secara umum.

Advertisement

Bagaimanapun, dapatan berkenaan belum muktamad kerana musim menuai masih berlangsung, termasuk di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

“Insya-Allah, kajian akan selesai pada akhir November.

Advertisement

“Melalui rekod jualan padi, kita tahu siapa yang menjual, lot sawah yang terlibat dan jumlah hasilnya,” katanya pada sidang media ketika lawatan ke Kilang Padi Darul Naim Sdn Bhd di Mukim Tasek Berangan di sini pada Rabu.

Luqman berkata, selepas semua data diperoleh, penelitian lebih terperinci akan dilakukan terhadap kawasan yang terjejas sebelum cadangan dikemukakan kepada kerajaan.

Sekiranya kerugian dapat dibuktikan, penilaian seterusnya perlu menentukan pesawah yang layak menerima pampasan, jumlah kerugian serta kadar bayaran bersesuaian.

Katanya, hasil kajian perlu dibentangkan kepada pihak atasan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sebelum dibawa ke Kabinet untuk pertimbangan dan keputusan.

Proses mendapatkan peruntukan juga perlu dilaksanakan sekiranya pemberian pampasan dipersetujui.

“Jika kerugian petani dibuktikan, kita perlu memastikan jumlah yang kerajaan perlu sediakan.

“Peruntukan itu adalah wang rakyat, sebab itu kita menegaskan dari awal bahawa keputusan mesti berdasarkan data,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Luqman berkata, pesawah yang memerlukan modal untuk memulakan penanaman padi boleh memanfaatkan kemudahan pembiayaan Agrobank.

Menurutnya, sebanyak RM70 juta pembiayaan telah disalurkan pada tahun ini, sekali gus memberi manfaat kepada kira-kira 7,500 pesawah.

Kemudahan itu menawarkan pembiayaan sehingga RM50,000 tanpa cagaran bagi menyokong keperluan modal penanaman padi.

Mengulas dakwaan potongan hasil padi sehingga 50 hingga 60 peratus, beliau berkata, penilaian kualiti dilaksanakan oleh pembeli atau kilang padi komersial berlesen berdasarkan piawaian penggredan dan prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, kadar potongan dipengaruhi beberapa faktor, termasuk kandungan air, padi rosak, padi muda atau belum matang serta bendasing seperti tangkai, daun dan serangga.

Padi yang terlalu basah memerlukan proses pengeringan, manakala hasil yang rosak atau belum matang mempunyai mutu berbeza berbanding padi yang sempurna.

Beliau menjelaskan, kadar potongan boleh berbeza antara kawasan, kilang dan waktu tuaian kerana bergantung pada keadaan sebenar padi yang dihantar.

Justeru, pesawah digalakkan hadir sendiri ketika proses penggredan untuk memahami kaedah penilaian serta menyatakan ketidakpuasan hati sekiranya tidak bersetuju dengan keputusan pembeli.

Tambahnya, pesawah juga mempunyai pilihan untuk menjual hasil kepada kilang atau pusat pembelian lain jika tidak menerima kadar potongan yang ditawarkan.

Dalam isu berasingan, beliau berkata, harga benih padi bersubsidi ditetapkan pada RM52 bagi setiap kampit 20 kilogram di peringkat borong dan RM56 di peringkat runcit.

Tanpa subsidi, katanya, harga benih berkenaan ialah RM76.60 bagi setiap kampit 20 kilogram.

Beliau juga meminta pesawah membuat aduan sekiranya dikenakan harga melebihi kadar kawalan di premis berlesen supaya siasatan dan tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan.

Aduan boleh disalurkan kepada pihak Kawal Selia Padi dan Beras melalui e-mel atau WhatsApp.

Must Watch Video

Advertisement