Skip to main content

Politik

[TERKINI] PRN Melaka: Tak salah orang muda bertanding, tapi jangan salah pilih - Ab Rauf

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh (kanan) berdepan saingan satu lawan satu dengan calon Pakatan Harapan (PH) Mohd Yunazri Mustamiri (kiri) bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara pada Pilihan Raya Negeri Melaka ke-16.  - Foto Bernama
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh (kanan) berdepan saingan satu lawan satu dengan calon Pakatan Harapan (PH) Mohd Yunazri Mustamiri (kiri) bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara pada Pilihan Raya Negeri Melaka ke-16. - Foto Bernama

Advertisement

Ringkasan AI

  • Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menegaskan pengalaman dan kecekapan penting dalam memilih calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
  • Kerusi DUN Tanjung Bidara menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Ab Rauf dari BN dan Mohd Yunazri Mustamiri dari PH.
  • Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 14 November sebagai Hari Pengundian bagi PRN Melaka ke-16.
Advertisement

ALOR GAJAH: “Tak salah orang muda bertanding, tetapi jangan salah pilih.”

Demikian respons Datuk Seri Ab Rauf Yusoh ketika mengulas saingannya dengan calon muda, Mohd Yunazri Mustamiri, 36, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara itu berkata, pentas demokrasi di Melaka sentiasa mengalu-alukan penyertaan calon tanpa mengira usia.

Advertisement

Bagaimanapun, Ketua Menteri Melaka itu menegaskan pengalaman dan kecekapan dalam mengurus masyarakat perlu turut menjadi pertimbangan pengundi.

“Bukan orang muda tak boleh, tetapi orang muda mesti ada pengalaman yang baik, supaya kita menguruskan masyarakat daripada pelbagai lapisan umur… orang muda sehinggalah warga emas,” katanya ketika ditemui selepas Penamaan Calon di Dewan Datuk Kapt (B) Hj. Ab. Karim, di sini pada Sabtu.

Advertisement

Mengulas lanjut, Pengerusi BN Melaka itu berkata pengurusan dan pentadbiran yang baik memerlukan gabungan pengalaman serta kecekapan dalam memahami keperluan masyarakat.

Sehubungan itu, Ab Rauf berkata penyertaan calon muda dalam pilihan raya tidak seharusnya dipersoalkan, sebaliknya mereka perlu terus menimba pengalaman bagi meningkatkan keupayaan dalam perkhidmatan kepada rakyat.

Kerusi DUN Tanjung Bidara menyaksikan saingan satu lawan satu antara Ab Rauf dan Yunazri daripada Pakatan Harapan (PH).

Pada PRN Melaka 2021, Ab Rauf memenangi kerusi DUN Tanjung Bidara dalam pertandingan tiga penjuru dengan majoriti sekitar 364 undi.

Terdahulu, Astro AWANI melaporkan Yunazri berkata beliau tidak berasa gentar meskipun menyedari kedudukannya sebagai calon baharu yang pertama kali menyertai pilihan raya.

Jurutera pembuatan automotif itu juga tidak menafikan rekod perkhidmatan Ab Rauf, namun pengundi perlu diberikan pilihan untuk menentukan wakil rakyat pada PRN Melaka kali ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November depan sebagai Hari Pengundian bagi PRN Melaka ke-16. 

Must Watch Video

Advertisement