TUARAN: Datuk Seri Hajiji Noor menyeru agar semua kumpulan etnik dan subetnik di negeri itu meningkatkan usaha mempromosi dan mempamerkan budaya masing-masing sebagai langkah memantapkan perpaduan melalui suai kenal budaya dalam kalangan rakyat.

Jelas Ketua Menteri Sabah itu, kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan terhadap seruan itu bagi memelihara serta memartabatkan setiap budaya yang wujud di negeri berkenaan demi kepentingan rakyat secara keseluruhan.

"Kita percaya program kebudayaan dapat memantapkan lagi perpaduan masyarakat yang berbilang kaum dan memberi peluang untuk kita mengenali, memahami serta menghargai adat dan budaya suku kaum masing-masing.

"Kepelbagaian budaya dan warisan dengan keharmonian 35 etnik dan 217 subetnik di Sabah telah menjadikan ‘Negeri Di Bawah Bayu’ sebagai bumi yang unik bagi setiap rakyat dan tetamu yang bertandang ke negeri ini," jelas Hajiji dalam satu kenyataan media pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru semua pihak di negeri itu bekerjasama menjayakan sambutan Pesta Kaamatan yang akan berlangsung di setiap peringkat di negeri berkenaan sepanjang bulan Mei ini.

Pesta Kamaatan menurut Hajiji merupakan wadah untuk mengeratkan silaturahim dan perpaduan di antara sesama saudara mara selain meraikan rasa syukur terhadap hasil tuaian padi yang baik.

"Saya mengajak semua pihak untuk sama sama menyertai dan menjayakan sambutan Tadau Kamaatan di peringkat daerah, kampung mahu pun organisasi masing-masing.

"Saya berharap semangat perayaan Pesta Kaamatan ini akan terus kita hayati demi kestabilan, keamanan, persahabatan serta kemakmuran negeri dan rakyat pada keseluruhannya", ujarnya.