TUARAN: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata beliau tidak mahu membuang masa melayan perkara yang tidak perlu atau terlalu berpolitik kerana mahu menumpukan usaha memenuhi amanah yang telah diberikan rakyat.

Hajiji berkata beliau sedar ada yang tidak menyukai malah mengkritiknya, namun sebagai Ketua Menteri usaha memajukan Sabah serta membantu rakyat lebih utama berbanding menjawab hal-hal tidak patut yang ditimbulkan pihak tertentu.

"Saya tahu bila dilantik menjadi Ketua Menteri tanggungjawab saya semakin besar berbanding sebelum ini. Saya kena berfikir untuk kepentingan satu Sabah," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Santuni Rakyat Sempena Sambutan Hari Natal di Kampung Dungang di sini hari ini.

Dalam pada itu, menurut Hajiji kesibukan melaksanakan tugas sebagai Ketua Menteri bukan alasan untuk tidak bertemu dengan rakyat khususnya di Tuaran dan kawasan diwakilinya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman, malah beliau gemar menghadiri majlis santai bersama masyarakat di kawasan itu.

"Perasaan saya begitu dekat dengan rakyat di daerah ini. Jika ada keperluan, maklumkan kepada saya, jangan segan atau malu," katanya.

-- BERNAMA