Skip to main content

Malaysia

AS kekal rakan dagang, pelaburan nombor satu Malaysia – PM

Anwar menegaskan pendekatan dasar luar Malaysia yang berkecuali membolehkan negara terus menjalinkan hubungan dengan pelbagai kuasa besar dunia, termasuk AS, China dan Rusia. - Foto fail/BERNAMA
Anwar menegaskan pendekatan dasar luar Malaysia yang berkecuali membolehkan negara terus menjalinkan hubungan dengan pelbagai kuasa besar dunia, termasuk AS, China dan Rusia. - Foto fail/BERNAMA

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri menegaskan kepentingan memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan Malaysia-Amerika Syarikat walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik dan isu tarif.
  • Malaysia mengekalkan dasar luar berkecuali bagi memastikan kepentingan nasional terpelihara serta membolehkan hubungan dengan kuasa besar seperti AS, China dan Rusia.
  • Sektor penerbangan, termasuk Malaysia Aviation Group, diiktiraf sebagai pemacu utama hubungan ekonomi dan peluang global, dengan sokongan kerajaan dan Khazanah Nasional Berhad.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu terus memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan dengan Amerika Syarikat (AS) meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik serta isu berkaitan tarif perdagangan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, AS kekal sebagai rakan penting Malaysia dalam aspek ekonomi antarabangsa dan kepentingan hubungan itu tidak seharusnya dipandang ringan.

Malah, beliau menyifatkan AS sebagai rakan dagang dan pelaburan nombor satu Malaysia, sambil menegaskan hubungan kedua-dua negara perlu terus diperkukuh.

Advertisement

“AS masih merupakan rakan dagang dan pelaburan nombor satu Malaysia. Jangan pandang rendah perkara itu,” katanya ketika berucap pada majlis pengumuman rasmi pemerolehan pesawat Malaysia Aviation Group (MAG), di sini, pada Rabu.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan pendekatan dasar luar Malaysia yang berkecuali membolehkan negara terus menjalinkan hubungan dengan pelbagai kuasa besar dunia, termasuk AS, China dan Rusia.

Advertisement

Menurut beliau, pendirian itu penting bagi memastikan Malaysia dapat mengutamakan kepentingan nasional tanpa mengetepikan dasar luar negara, khususnya dalam aspek perdagangan, pelaburan dan kerjasama antarabangsa.

“Sebagai sebuah negara perdagangan, keperluan untuk berhubung dengan semua negara adalah penting dan menjadi tunjang kepada ekonomi kita,” katanya.

Tambah Anwar, sektor penerbangan memainkan peranan penting dalam menghubungkan Malaysia dengan pasaran global, selain membuka peluang kepada perniagaan, pelancongan, industri dan komuniti di seluruh negara.

Beliau memberi jaminan pihak kerajaan bersama Khazanah Nasional Berhad komited memastikan MAG terus berkembang dan kembali menjadi pemain utama dalam industri penerbangan global.

“Kehadiran rakan-rakan kita dari Boeing dalam majlis ini bukan sahaja menunjukkan keyakinan mereka, malah mencerminkan hubungan kerjasama jangka panjang.

“MAG telah membuktikan keupayaannya untuk memenuhi komitmen yang dipersetujui,” ujar Anwar.

 

Must Watch Video

Advertisement