KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkenaan ibu warganegara Malaysia yang berhak mewariskan kerakyatan kepada anak mereka yang lahir di luar negara mempunyai implikasi yang sangat penting kepada perkembangan hak kanak-kanak.

Pesuruhjaya Kanak-Kanak, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, keputusan itu turut menetapkan kayu ukur yang menegakkan prinsip kesamarataan, bertepatan dengan konvensyen antarabangsa yang turut ditandatangani Malaysia termasuk dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menerusi satu kenyataan, beliau berkata keputusan itu juga telah membuka jalan untuk masa depan yang lebih cerah dan adil untuk semua kanak-kanak yang lahir dari ibu bapa warganegara Malaysia yang berkahwin dengan bukan warganegara, tanpa mengira jantina.

"Pada hakikatnya, ketidakpastian berhubung status undang-undang kanak-kanak yang lahir di luar negara oleh ibu berwarganegara Malaysia yang berkahwin dengan bapa berwarganegara asing telah membawa kesan jangka masa pendek dan panjang kepada seluruh kehidupan kanak-kanak.

"Antara cabaran yang dihadapi kanak-kanak ini dan ibu mereka termasuklah dinafikan pendaftaran kelahiran berikutan ketidakhadiran bapa warga asing (yang mungkin tidak berada dalam negara); dan/atau dinafikan atau kesukaran untuk memperbaharui, memanjangkan atau memohon visa.

"Ketiadaan sama ada dokumen kelahiran atau visa boleh menjejaskan status kanak-kanak, di mana ia telah menghilangkan semua hak yang sepatutnya diperolehi kanak-kanak, seperti kanak-kanak Malaysia lain, terutamanya akses kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan awam," memetik kenyataan tersebut.

Menurut Noor Aziah, pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) mengikuti rapat kes tersebut dengan melakukan pemerhatian di mahkamah sejak kes difailkan pada tahun 2020 lagi, memandangkan terdapat beberapa prinsip hak kanak-kanak yang terlibat, seperti hak untuk tidak didiskriminasi selaras dengan Perkara 2 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC).

Antara perkara lain yang turut diberi perhatian adalah berkenaan hak mendapatkan kerakyatan seperti yang termaktub dalam Perkara 7 CRC dan hak untuk mengekalkan identiti kanak-kanak, termasuk kerakyatan, di bawah Perkara 8 CRC.

"Adalah juga dalam kepentingan terbaik kanak-kanak seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 3 CRC, bahawa kanak-kanak yang lahir di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia hendaklah dianugerahkan kewarganegaraan Malaysia tanpa mengira kewarganegaraan bapa kanak-kanak," katanya.

Pada 9 September lalu, mahkamah mendapati Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan (PP) bersama dengan Seksyen (1)(b), Bahagian II, Jadual Kedua berhubung hak kerakyatan, hendaklah dibaca secara harmoni dengan Perkara 8(2) PP yang melarang diskriminasi berdasarkan jantina, dan oleh demikian, maksud “bapa” di dalam Seksyen 1(b) adalah turut dibaca memberi makna “ibu”.

Melalui saman pemula difailkan 18 Disember tahun lalu, Association of Family Support and Welfare Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) dan enam ibu rakyat Malaysia selaku plaintif menamakan kerajaan sebagai defendan tunggal.

Mereka memohon beberapa perisytiharan antaranya Seksyen 1(b) dan Seksyen 1(c) Jadual Kedua Bahagian II Perlembagaan dibaca bersama Perkara 8(2) dengan memasukkan sekali perkataan ibu sebagai syarat bagi kanak-kanak dilahirkan di luar negara diberi taraf kerakyatan secara automatik.