PUTRAJAYA: Seorang Hakim Mahkamah Rayuan hari ini menarik diri daripada mendengar rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pembatalan saman beliau berhubung sabitan dalam kes liwat melibatkan bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Hakim Datuk Seri Kamaludin Md Said berkata beliau memutuskan untuk menarik diri daripada mendengar kes itu kerana beliau telah mengendalikan baberapa kes lain yang melibatkan Anwar semasa beliau bersama dengan Pejabat Peguam Negara.

Peguam Anwar Datuk Seri Gopal Sri Ram turut membawa perhatian panel tiga hakim Mahkamah Rayuan bahawa Hakim Kamaludin sebelum ini telah menarik diri daripada mendengar perkara itu di Mahkamah Tinggi.

Hakim Kamaludin berkata beliau pada mulanya dijangka mendengar kes berkenaan di Mahkamah Tinggi sebelum kes itu dipindahkan ke mahkamah lain.

Katanya beliau juga mengendalikan beberapa kes lain yang melibatkan Anwar semasa beliau menjadi peguam kanan persekutuan.

Rayuan Anwar terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 8 Nov 2017 yang membenarkan permohonan kerajaan mengetepikan saman pemula beliau, dijadulkan untuk didengar hari ini di hadapan panel yang terdiri daripada Hakim Kamaludin, Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Wira Ahmad Nafsy Yasin menerusi aplikasi zoom.

Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan yang mewakili kerajaan, dan peguam Harvinderjit Singh, yang mewakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang dibenarkan mencelah dalam rayuan itu berkata mereka menyerahkan perkara berkenaan kepada mahkamah.

Hakim Kamaludin kemudian mengarahkan supaya rayuan itu dihantar untuk pengurusan kes hari ini bagi menetapkan satu tarikh baharu pendengaran kes di hadapan panel lain.

Semasa dihubungi seorang lagi peguam Anwar, J.Leela berkata timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan Nik Serene Nik Hashim menetapkan 29 Jun bagi pendengaran rayuan itu.

Anwar, yang merupakan Ahli Parlimen Port Dickson dalam saman pemula yang difailkan pada 9 Jun 2017 terhadap kerajaan Malaysia, telah mendakwa bahawa beliau tidak dibicarakan dengan adil dalam rayuannya berhubung sabitan kes liwat terhadapnya.

Beliau memohon satu deklarasi bahawa sabitan terhadapnya oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 ultra vires atau melangkaui kekuasaan Perlembagaan Persekutuan dan oleh yang demikian, adalah terbatal serta tidak sah.

Beliau juga memohon perintah bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan itu ultra vires dan oleh yang demikian, adalah terbatal serta tidak sah.

Sabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar bagi kesalahan meliwat Mohd Saiful telah dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan, bagaimanapun Anwar telah mendapat pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei 2018.

Pada 8 Nov 2017, Mahkamah Tinggi telah membenarkan permohonan kerajaan untuk membatalkan saman pemula Anwar selepas memutuskan bahawa kesnya tidak mempunyai asas dan sebarang bukti sebagai sokongan.

-- BERNAMA