Hala tuju Pesta Pulau Pinang belum dimuktamadkan - Chow

Chow (dua kanan) mengiringi Tun Ramli yang melakukan simbolik perasmian Pesta Pulau Pinang Tahun 2025/2026 di Tapak Pesta Sungai Nibong di George Town malam tadi. --fotoBERNAMA
GEORGE TOWN: Kerajaan negeri belum memuktamadkan hala tuju Pesta Pulau Pinang selepas sebahagian tapak pesta di Sungai Nibong di sini, diambil alih bagi projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara.
Ringkasan AI
- Kerajaan negeri Pulau Pinang belum menetapkan hala tuju Pesta Pulau Pinang selepas sebahagian tapak pesta di Sungai Nibong diambil alih bagi projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara.
- MRTC akan memulakan pembinaan depoh dan stesen LRT Laluan Mutiara pada April tahun depan, menggantikan sebahagian tapak pesta yang telah direhatkan selama enam tahun.
- Chow Kon Yeow menyatakan tiada keputusan tetap sama ada pesta akan kekal di lokasi semasa atau dipindahkan, memahami rasa kehilangan orang ramai yang mengaitkan Tapak Pesta Sungai Nibong dengan nostalgia acara tahunan tersebut.
"Ambil alih tanah ini hanya melibatkan sebahagian tapak pesta dan ketika ini, kerajaan negeri dan agensi berkaitan bersama-sama MRTC sedang meneliti pelan induk pembangunan semula tapak untuk membina depoh dan stesen LRT serta begitu juga stesen bas Sungai Nibong.
"Kita perlu menunggu hasil penyediaan pelan induk terlebih dahulu sebelum boleh memuktamadkan keputusan penganjuran pesta," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pesta Pulau Pinang 2025/2026 di Tapak Pesta Sungai Nibong di sini malam tadi.
Yang Dipertua Negeri Tun Ramli Ngah Talib menyempurnakan majlis itu.
Chow berkata kerajaan negeri memahami orang ramai, khususnya rakyat Pulau Pinang akan merasai kehilangan kerana lokasi itu mempunyai banyak nostalgia berikutan Tapak Pesta Sungai Nibong sinonim dengan penganjuran pesta tahunan negeri itu.
Beliau berkata jika Pesta Pulau Pinang diadakan semula pada masa hadapan, ia mungkin tidak dapat menggunakan kawasan seluas tapak asal.
"Kita belum sampai ke tahap menentukan sama ada pesta boleh dikembalikan ke sini. Tiada rancangan spesifik untuk penempatan semula pesta buat masa ini kerana menunggu hasil pelan induk yang sedang disediakan," katanya.
Terdahulu, Chow semasa berucap berkata Pesta Pulau Pinang 2025/2026 edisi ke-59 merupakan penganjuran terakhir sebelum direhatkan enam tahun bermula tahun hadapan bagi memberi laluan kepada pembinaan projek oleh MRT Corp di tapak itu.
Projek LRT Laluan Mutiara meliputi jajaran sepanjang 29.5 kilometer merangkumi 21 stesen di lokasi strategik termasuk satu stesen provisional di Pulau Reklamasi Selatan Pulau Pinang.
LRT Laluan Mutiara dijangka beroperasi pada 2031 akan menyaksikan sambungan sehingga ke Penang Sentral di Butterworth bagi meningkatkan kesalinghubungan penduduk di kedua-dua Selat Pulau Pinang.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


