KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin tidak terkecil hati dan sedia menerima kritikan mana-mana pihak termasuk bekas Timbalan Presiden FAM Khairy Jamaluddin.

Katanya beliau sentiasa terbuka jika ada mana-mana individu mahu bertanding untuk menerajui badan induk bola sepak negara itu.

Mengulas pandangan Khairy bahawa sudah tiba masanya untuk peralihan dilakukan dalam FAM, Hamidin, yang menerajui FAM bagi penggal kedua sejak 2018, menyifatkan ia sebagai pandangan peribadi bekas Menteri Belia dan Sukan itu.

"Itu pandangan peribadi beliau (khairy), apa pun kita buat, tak boleh lari daripada statut atau perlembagaan, sesiapa boleh bertanding, tiada masalah. Saya terbuka dan FAM pun terbuka jika sesiapa mahu nak bertanding jawatan perlu mengiku peraturan.

"Saya tidak kecil hati, sikap terbuka dan terima kritikan, terutamanya selepas prestasi skuad negara di Piala Asia Bawah-23 Tahun (B-23) dan 'surat layang' baru-baru ini, apa yang baik saya ambil. Jika mahu memegang jawatan, kita kena terima (kritikan), yang penting tidak buat salah, dan buat (keputusan) demi bola sepak negara," katanya.

Hamidin, yang juga merupakan Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), berkata demikian ketika ditemui selepas mesyuarat Majlis Eksekutif dan sambutan Hari Raya MOM di sini hari ini.

Jumaat lepas, Khairy berkata beliau tidak berminat untuk kembali memegang jawatan dalam FAM selepas namanya dikaitkan sebagai calon Presiden, namun berasa sudah tiba berlaku perubahan dalam kepimpinan FAM demi kemajuan bola sepak negara secara menyeluruh.

Hamidin menerima kritikan menjelang Kongres Pemilihan, yang dijadualkan pada tahun depan, berikutan penyebaran 'surat layang' yang memburukkan kepimpinan dan pengurusan badan induk itu, selain prestasi tidak memuaskan skuad kebangsaan dan B-23 baru-baru ini.

Hamidin juga meminta semua pihak supaya menunggu keputusan siasatan daripada pihak berkuasa mengenai dakwaan 'surat layang' tersebut bahawa berlakunya salah laku di FAM.

Sementara itu, beliau berkata sedang menunggu laporan daripada ketua jurulatih skuad B-23 Juan Torres Garrido dan Pengarah Teknikal Scott O'Donell mengenai prestasi hambar skuad Harimau Muda di Piala Asia B-23, yang juga merupakan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Skuad Harimau Muda gagal melangkah ke suku akhir selepas tewas kesemua tiga perlanwanan peringkat kumpulan iaitu 0-2 masing-masing kepada Uzbekistan pada 17 April, Vietnam (20 April dan 1-32 kepada Kuwait.

-- BERNAMA