SANDAKAN: Seramai 496 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) berasal dari Filipina dihantar pulang ke negara asal melalui Pelabuhan Sandakan, pada Jumaat.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, Datuk Dr Muhamad Sade Mohamad Amin berkata, penghantaran pulang itu merupakan kali ketiga bagi tahun ini.

Menurutnya, semua PATI warganegara Filipina tersebut telah ditahan di Depot Imigresen Kota Kinabalu dan Papar sejak tahun 2020.

“Mereka dihantar pulang melalui Pelabuhan Sandakan, Sabah terus ke Pelabuhan Zamboanga, Filipina.

“Ia menjadikan jumlah PATI yang diusir dari Sabah seramai 1,725 orang untuk tahun ini.

“Untuk makluman, proses tapisan kesihatan yang ketat termasuk ujian saringan COVID19 terhadap setiap PATI bagi suatu tempoh yang ditetapkan turut dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Jumaat malam.

Mereka dihantar pulang melalui Pelabuhan Sandakan, Sabah terus ke Pelabuhan Zamboanga, Filipina. - Astro AWANI

Menurutnya, ia bagi memastikan tidak wujud penularan jangkitan COVID19 terhadap setiap PATI sebelum penghantaran pulang dilaksanakan seiring dengan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Semua PATI yang ditahan telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“PATI berkenaan juga sudah menjalani hukuman mengikut perundangan negara untuk diusir keluar dari Sabah.

“Justeru, semua warganegara asing diingatkan agar memiliki dokumen perjalanan yang sah dan mendapat kebenaran masuk sebelum berada di negeri Sabah,” katanya.

Menurutnya, semua agensi penguatkuasaan di Sabah akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan ini.

Jelasnya juga, JIM Sabah akan terus komited melakukan tindakan penguatkuasaan dan penghantaran pulang PATI setelah mereka melalui semua proses perundangan dan mendapat pengesahan daripada kedutaan masing-masing.