Hampir 80 peratus daripada 763 individu yang ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Ahad (13 September) adalah terdiri daripada pengunjung kelab malam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan berkata aktiviti kelab malam dan pub mencatatkan jumlah ditahan paling tinggi dengan 608, diikuti aktiviti yang menyukarkan penjarakan fizikal (63) dan acara keraian tertutup (27).

Antara lain kesalahan ingkar arahan PKPP gagal menyediakan peralatan keluar masuk (6 individu), tidak memakai pelitup muka (22 individu), premis beroperasi lebih masa (seorang), premis beroperasi tanpa lesen (seorang), perjudian sabung ayam (10), disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian (12), ingkat perintah PKPD (12 dan lain-lain aktiviti (seorang).

Kata Ismail, dalam usaha mengekang kemasukan PATI pula, PDRM melakukan 71 tangkapan melibatkan PATI, tiga tekong dan seorang penyeludup.

BACA: 763 ditahan ingkar PKPP di hujung minggu, ini lima perkara penting kenyataan media Ismail Sabri

“Daripada jumlah itu, di Padang Mulud, Bandar Penawar, Johor, pasukan ATM telah berjaya menahan 10 PATI kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

“Sebanyak 79 Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng dilaksanakan semalam yang melibatkan PDRM (57 SJR), AKSEM (10 SJR), dan ATM (12 SJR).

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.

Mengulas lanjut, Ismail berkata pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang melakukan 1,649 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP dan mendapati 1,640 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala 9 premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP.

Dalam perkembangan lain, menerusi Ops Sanitasi Awam di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 30 Mac lalu, sebanyak 9,937 operasi sanitasi merangkumi 134 zon dilakukan.

Jelasnya, sebanyak 12,994 premis telah disanitasi yang terdiri daripada 2,711 pusat perniagaan, 5,717 bangunan kerajaan , 1,599 kawasan perumahan termasuk PPR , 2,613 tempat awam dan 354 pasar raya.

“Semalam (13 September), sebanyak 7 operasi sanitasi meliputi 6 zon Hijau dan 1 zon Kuning yang melibatkan 5 buah negeri antaranya Sabah (2 operasi), Pulau Pinang (2 operasi) dan Sarawak (1 operasi), Pahang (1 operasi), dan Kedah (1 operasi).

“Operasi sanitasi ini melibatkan 12 anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), 88 anggota Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta 7 dari agensi-agensi lain. 2 jentera JBPM turut terlibat dalam operasi sanitasi,” katanya lagi.