MEKAH: Berjalan kaki sehingga lapan kilometer sehari. Hampir sepanjang hari juga dihabiskan dalam cuaca panas melebihi 40 darjah celsius. Itu sudah menjadi rutin kepada anggota Pasukan Peronda Tabung Haji (TH) demi memastikan keselamatan jemaah haji Malaysia terpelihara.

Lebih warna-warni dan lucu, ada segelintir jemaah yang tersasar tempat penginapan, bukan bertanyakan jalan pulang tetapi meminta anggota pasukan membawa ke restoran cita rasa Malaysia, Restoran Felda D'saji, letaknya di Menara Safwa kerana ingin menikmati roti canai dan teh tarik.

Pengalaman warna-warni itu diceritakan Ketua Unit Pasukan Peronda TH Mekah, Inspektor Mohamed Amer Jawahil yang memaklumkan kes jemaah haji tersesat atau tersasar berlaku hampir setiap hari terutama dalam kalangan yang baru tiba kerana mereka masih keliru dan belum menyesuaikan diri dengan persekitaran.

"Namun anggota kami bertugas 24 jam yang dibahagikan kepada tiga shift. Satu shift lapan jam dan ada sembilan anggota yang bertugas.

"Mereka ditempatkan di lokasi strategi di dalam serta luar Masjidilharam iaitu dari kawasan Marwah sehingga ke Jabal Omar," katanya kepada kumpulan petugas media di Mekah.

Ditubuhkan sejak 2014, tugas utama anggotanya ialah mencari, mengesan dan menjadi penunjuk arah kepada jemaah haji Malaysia yang tersesat di dalam dan sekitar Masjidilharam.

Katanya yang berpengalaman selama 35 tahun dengan TH, pasukannya yang diperkuatkan dengan 18 anggota turut berperanan menjaga keselamatan dan memberi bantuan awal kepada jemaah yang mengalami sebarang masalah.

"Itulah sebabnya ada jemaah yang mohon dibantu membawanya ke restoran citarasa Malaysia, mahu makan roti canai sebelum diminta juga membawa pulang ke tempat penginapan. Tetapi, sudah menjadi tugas kami membantu, jadi kami layan juga permintaan seperti itu," katanya.


Foto Astro AWANI

Mohamed Amer berkata, anggota Pasukan Peronda TH mudah dilihat dan dikenali kerana sentiasa memakai seragam iaitu kemeja T dan topi berwarna merah terang yang dilengkapi logo TH serta berseluar hitam.

Kelibat mereka ini katanya, ada di lapan "check point" atau lokasi khusus di sekitar Masjidilharam untuk tujuan bantuan terutama dari segi pandu arah demi memastikan keselamatan mereka.

Tambah beliau, kawasan itu pertamanya, kawasan sekitar tandas di Marwah dan laluannya (Zon A) berikutan jemaah lazim didapati hilang arah apabila mahu kembali ke dalam masjid selepas keluar ke tandas.

"Begitu juga kawasan sekitar pintu Marwah yang juga laluan untuk jemaah keluar serta pulang ke bangunan penginapan selepas mengerjakan tawaf dan saie, serta kawasan sekitar pintu Assalam.


Foto Astro AWANI

"Seterusnya, kawasan dataran Safwah ke Ajyad (Zon B); kawasan dataran laluan Menara ZamZam; kawasan dataran laluan ke Misfalah (Zon D); dan baki dua pos lagi di kawasan dataran laluan ke Hafaer (Zon C) kerana ia membabitkan lokasi yang luas," jelas Mohamed Amer.

Kesemua anggota sudah memulakan tugas meronda secara rasmi pada bulan ini sebaik saja kumpulan penerbangan jemaah haji di Mekah.

Bagi musim haji kali ini, Mohamed Amer berkata, pemilihan anggota memenuhi kriteria tertentu seperti penekanan kepada aspek kesihatan di mana anggota mesti sihat fizikal dan mental, mempunyai ketahanan tinggi serta terlatih sejajar cabaran bertugas di Tanah Suci.

Foto Astro AWANI

Ditanya pengalaman paling tidak boleh dilupakannya sepanjang bertugas, Mohamed Amer memberitahu, yang masih diingatinya ialah peristiwa pada 2015 di mana berlaku tragedi kren tumbang yang turut sama menimpa jemaah dari Malaysia.

"Secara kebetulan saya bekerja ketika itu, sebelum Asar saya masuk dan berlaku hujan dan ribut. Kemudiannya saya ada terdengar bunyi kuat dan mencari bunyi tersebut. Tetapi ketika itu sudah ramai yang berlari keluar, dan suasananya panik. Dalam keadaan panik itu, kita mencari warga Malaysia yang sedang berada di kawasan itu, ada tiga jemaah dapat kita bantu pada masa itu," katanya.

Menurut beliau, peristiwa itu banyak mengajarnya supaya lebih bersedia dengan kejadian yang tidak diingini berlaku di mana paling penting ialah sentiasa tenang dan berfikiran pantas untuk memberikan bantuan kepada memerlukan, iaitu jemaah haji Malaysia.