Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin membidas dakwaan Lim Guan Eng yang mengatakan bahawa berlaku kenaikan beban kewangan purata sebanyak RM50 bagi setiap orang setahun, susulan langkah rasionalisasi harga minyak masak.

Jelas beliau, mengikut perkiraan, jika setiap pengguna menggunakan minyak masak sekilogram yang bersubsidi, maka purata perbelanjaan tidak sampai RM10 untuk lima orang setiap bulan.

"Saya tidak tahu mana datang RM50. Yang Berhormat kira macam mana? Sampai RM250 untuk lima orang? Padahal untuk 1.5 kilogram untuk seorang hanya lebih kurang RM1.50 campur 75 sen satu kepala. Kalau lima orang, tak sampai RM10 sebulan.

"Maka pertambahan lebih kurang RM100 setahun," katanya semasa menjawab soalan tambahan Guan Eng semasa sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau pada masa sama mempersoalkan dakwaan Ahli Parlimen Bagan itu yang mempertikai harga sepaket minyak masak sekilogram, sedangkan Guan Eng sendiri mampu membeli air mineral yang lebih mahal berbanding bahan siap proses itu setiap hari.

"Padahal dia beli air mineral setiap hari itu melebihi daripada harga minyak masak yang diproses yang digunakan oleh semua rakyat yang bertanggungjawab dalam negara kita," katanya.

Harga minyak masak paket 1 kilogram kekal RM2.50 tetapi minyak masak dalam botol akan dijual mengikut harga pasaran berkuat kuasa 1 November 2016.

Hamzah ketika mengumumkan perkara itu minggu lalu berkata, kadar itu berikutan penstrukturan semula Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS).