KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri meminta ibu bapa supaya menghantar anak-anak mereka ke taska dan pusat penjagaan kanak-kanak yang berdaftar.

Nancy berkata ini kerana pengoperasian taska dan pusat penjagaan kanak-kanak berkenaan telah diselaraskan supaya memenuhi syarat-syarat teknikal yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pihak berkuasa tempatan.

"Sehingga 4 Dis lepas, 430 taska daripada jumlah keseluruhan 1,080 taska yang dikenal pasti tidak berdaftar di bawah JKM setakat Jun tahun ini, telah berjaya mematuhi syarat pengoperasian dan didaftarkan untuk membolehkan mereka beroperasi dengan sah, manakala 650 lagi masih dalam proses permohonan," katanya dalam sesi jawab lisan di sidang Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Teo Eng Tee @ Teo Kok Chee yang ingin tahu pelan tindakan termasuk status terhadap taska tidak berdaftar yang banyak memberi impak negatif hingga berlakunya kes penderaan serta kematian kanak-kanak.

Dalam pada itu, beliau memohon kerjasama semua pihak, termasuk ibu bapa dan penjaga kanak-kanak, untuk melaporkan taska tidak berdaftar kepada JKM demi keselamatan anak-anak.

Nancy berkata langkah itu bukan bertujuan untuk menutup taska terbabit dan menyusahkan ibu bapa sebaliknya ia bertujuan memutihkan pengoperasian dengan membantu taska dan pusat jagaan kanak-kanak itu mematuhi syarat dan seterusnya berdaftar.

"Untuk perkara ini, KPWKM bekerjasama dengan agensi berkaitan di setiap negeri melalui one-stop centre (OSC) yang dipengerusi oleh Pengarah Kebajikan Masyarakat negeri bagi membincangkan isu berkaitan pendaftaran taska dan mempercepatkan proses tersebut," katanya.

Beliau turut meminta orang ramai untuk merujuk senarai taska yang berdaftar di laman web rasmi JKM di www.jkm.gov.my.

-- BERNAMA