KUCHING: Program Pembangunan Bakat terutama melibatkan kanak-kanak di institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat perlu dihidupkan semula, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata menerusi program itu institusi kebajikan dapat mengenal pasti kebolehan serta bakat terpendam kanak-kanak, selain mampu membantu mereka membina keyakinan diri.

"Kita perlu teroka bakat mereka, jika ada bakat dan kepandaiannya tersendiri, maka insya-Allah mereka boleh berdikari dan mempunyai kerjaya berdasar minatnya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Tautan Kasih Ramadan di Rumah Kanak-Kanak Toh Puan Hajah Norkiah di sini, hari ini.

Berucap pada majlis itu, Nancy berkata kementeriannya amat prihatin dengan keperluan kumpulan sasar khususnya kanak-kanak dan warga emas.

"Pelbagai program perlu diadakan dan digerakkan bagi membolehkan penghuni-penghuni ini berinteraksi dan seterusnya menikmati hak-hak mereka sebagai insan yang perlu mendapat perlindungan dan kasih sayang selaras dengan Dasar Kanak-Kanak Negara, Akta Kanak-Kanak 2001 dan Dasar Warga Emas Negara.

"Usaha sama pelbagai pihak baik orang perseorangan, sektor swasta, badan-badan bukan kerajaan, sektor korporat amat penting dalam kita menjayakan aspirasi negara terutamanya dari segi sosial dan kebajikan," katanya.

Beliau berkata meluangkan sedikit masa dan menyumbang tenaga serta kemahiran, selain memberi sokongan secara mental atau spiritual mampu membahagiakan anak-anak serta penghuni di institusi tersebut.

Pada majlis itu Nancy turut menyampaikan 136 sumbangan Hari Raya, bubur lambuk dan bubur pedas kepada penghuni di rumah kanak-kanak dan penghuni Rumah Seri Kenangan Kuching.

-- BERNAMA