Skip to main content

Malaysia

Hantaran jelik terhadap bekas PM, pentadbir akaun Facebook dijel 10 bulan, denda

MCMC ABDULLAH
Hukuman itu dijatuhkan terhadap John Mule Alai, 48, selepas mahkamah mensabitkan kesalahan terhadap pertuduhan yang dihadapinya. - Gambar MCMC

KUALA LUMPUR: Seorang pentadbir akaun Facebook dijatuhkan hukuman penjara 10 bulan dan denda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Miri, Sarawak pada Rabu selepas didapati bersalah memuat naik komen bersifat jelik melampau yang menyinggung sensitiviti agama Islam serta menghina pemergian bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi. 

Hukuman itu dijatuhkan terhadap John Mule Alai, 48, selepas mahkamah mensabitkan kesalahan terhadap pertuduhan yang dihadapinya. 

Advertisement

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga pentadbir akaun Facebook Bat Tuo Sai didapati memuat naik komen yang mencerca serta menghina ayat suci al-Quran selain membuat penghinaan terhadap Allahyarham. 

Komen berkenaan dimuat naik pada hantaran Facebook Astro AWANI yang melaporkan berita pemergian Allahyarham. 

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menggunakan perkhidmatan aplikasi secara tidak wajar dengan memuat naik komunikasi bersifat jelik melampau dengan niat untuk mengganggu pihak lain. 

Dalam pada itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memandang serius sebarang bentuk penyalahgunaan platform digital yang boleh menghina agama, mencetuskan kebencian atau menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini. 

MCMC turut mengingatkan orang ramai supaya menggunakan media sosial secara berhemah, bertanggungjawab serta mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa. 

Menurut suruhanjaya itu, sebarang kandungan yang bersifat menghina, menghasut kebencian atau menyinggung sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja boleh dikenakan tindakan tegas di bawah undang-undang.

Must Watch Video