Hanya 2.14 peratus rakyat Malaysia yakin akan kemampuan agensi-agensi kerajaan Malaysia untuk mengawal selia teknologi nuklear bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Perkara itu dinyatakan Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) yang menjalankan Kajian Jaminan Tenaga Kebangsaan (NESS) berkenaan isu-isu berkaitan tenaga.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Presiden AWER S. Piarapakaran, 34.99 peratus daripada responden kajian berpendapat bahawa agensi-agensi ini tidak mampu mengawal selia teknologi nuklear, sementara baki 62.87 peratus menyatakan ketidakpastian mengenainya.

“Dalam kajian NESS kami, kami ingin juga mengetahui tentang persepsi negatif terhadap nuklear.

“Apabila responden ditanya mengenai kerisauan utama mereka berkaitan dengan loji tenaga nuklear, 34.44 peratus rakyat Malaysia risau akan impak kesihatan terhadap mereka dan ahli keluarga mereka,” kata kenyataan tersebut.

Turut dinyatakan adalah 16.22 peratus rakyat Malaysia risau akan impak sisa radioaktif ke atas alam sekitar manakala 12.75 peratus lagi risau akan berlakunya letupan atau kebocoran bahan radioaktif.

Secara keseluruhanya, 63.41 peratus rakyat Malaysia risau akan keselamatan loji tenaga nuklear manakala 34.29 peratus rakyat Malaysia tidak pasti dengan kerisauan utama mereka berkaitan dengan loji tenaga nuklear.

Realitinya, kerisauan rakyat mengenai keselamatan loji tenaga nuklear adalah satu isu penting yang perlu ditangani oleh Kerajaan Persekutuan dengan hanya 2.20 peratus rakyat Malaysia yakin loji tenaga nuklear adalah selamat.