Hanya 34 daripada 314 dapur di resort dan hotel di Melaka memiliki sijil pengesahan halal setakat ini, kata Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Md Azhan Samat.

Beliau berkata daripada jumlah itu dua dapur resort dan hotel bertaraf lima bintang mempunyai sijil pengesahan halal, empat bintang (11), tiga bintang (15), dua bintang (2) dan tiada bintang (4).

"Kesemua dapur resort dan hotel yang mendapat sijil pengesahan halal ini telah dibenarkan untuk menggunakan istilah 'Bufet Ramadan' bagi membolehkan umat Islam memilih premis berkenaan untuk berbuka puasa sepanjang Ramadan ini tanpa was-was.

"Kita berharap agar lebih banyak pengusaha resort dan hotel di negeri ini supaya ada kesedaran dan memohon sijil pengesahan halal itu melalui Bahagian Pengurusan Halal JAIM secepat mungkin supaya tiada syak wasangka dalam kalangan masyarakat serta pelancong Islam dari dalam dan luar negara," katanya kepada Bernama.

Katanya, sehubungan itu, JAIM amat menggalakkan sebarang penganjuran majlis berbuka puasa dan keraian diadakan di resort dan hotel yang telah disenaraikan yang mempunyai pensijilan halal bagi mengelakkan timbulnya masalah keraguan.

Menurut beliau, kesemua resort dan hotel berkenaan sudah mematuhi standard, syarat dan prosedur halal ditetapkan jabatan agama tersebut iaitu menggunakan bahan-bahan mentah yang halal dalam menu masakan.

"Di samping itu, pensijilan halal turut diberikan berdasarkan kebersihan dan pengendalian di bahagian dapur termasuk perkakas yang digunakan serta proses penyimpanan bahan mentah kering dan basah serta penstoran yang dilaksanakan.

"Selepas menerima sijil pengesahan halal, Bahagian Pengurusan Halal JAIM akan melakukan pemantauan berkala di dapur resort dan hotel bagi memastikan kemaslahatan pengguna terjamin selain pemeriksaan susulan jika ada aduan daripada pelanggan," katanya.

Untuk rekod, sebanyak 16.79 juta pelancong melawat Melaka tahun lepas.

-- BERNAMA