Waktu respon polis ke lokasi panggilan kecemasan sekitar ibu kota kini secara purata adalah lapan minit berbanding 15 minit sebelum ini.

Pengarah Jabatan Logistik Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Datuk Zulkifli Abdullah berkata, pihaknya masih menjalankan ujian terhadap teknologi komunikasinya bagi meningkatkan lagi kecekapan pasukan menangani panggilan kecemasan.
"Sistem command, control, communication and computer integration atau lebih dikenali sebagai 'c-four-i' ini menghubungkan pusat kawalan dengan kereta-kereta peronda, unit peronda bermotosikal dan anggota peronda berjalan kaki.

"Aset akan digerakkan sebaik maklumat diterima dari Malaysian Emergency Response Services 999, Save Me 999, atau satu lagi sistem panggilan kecemasan seperti my distress yang akan dilancarkan tidak lama lagi," katanya.

Jelas Zulkifli, sistem kelak ini membolehkan pusat kawalan memantau pergerakan setiap kereta peronda dan peronda berjalan kaki.

Ujarnya, peta digital di pusat kawalan juga dapat mengenal pasti lokasi panggilan dibuat walaupun pemanggil tidak dapat meneruskan percakapan kerana ancaman keselamatan.

"Apabila sebarang panggilan dibuat, ia akan terus dapat maklumat berkenaan dan terus kesan dari mana ia diterima.

"Maknanya, di dalam peta tu sudah ada anggota untuk kawasan itu. Jadi, jika ada sesiapa di dalam kecemasan, anggota ini akan terus beri isyarat dan seterusnya iskayat itu akan disebarkan kepada skuad kenderaan lain yang berhampiranl," jelasnya.

Tambahnya, selain kepantasan untuk sampai ke lokasi, sistem itu juga membolehkan pegawai di pusat kawalan membuat keputusan yang tepat iaitu jenis aset yang hendak digerakkan dan jenis bantuan yang perlu diberikan termasuk dari pasukan perubatan dan bomba.

Sistem ini sedang dilaksanakan di Lembah Klang dan Iskandar Johor selain bakal diperluaskan ke seluruh negara.