NATIONAL
Hanya Petronas miliki hak petroleum negara - Hafiz Hassan

Petronas Carigali Sdn Bhd kini berdepan cabaran undang-undang daripada Kerajaan Sarawak atas dakwaan melanggar Ordinan Pengagihan Gas 2016, meskipun hak eksklusif petroleum telah lama dipusatkan di bawah Petronas menerusi PDA 1974.
SELURUH sumber petroleum negara telah diserahkan kepada Petroliam Nasional Bhd (Petronas) secara sah melalui Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974).
Memetik artikel komentar yang ditulis Hafiz Hassan pada Sabtu, beliau mempersoalkan tindakan Kerajaan Sarawak ke atas anak syarikat Petronas, Petronas Carigali Sdn Bhd.
Dalam tulisannya, Hafiz memetik hujahan pakar undang‑undang V. K. Moorthy yang menegaskan bagaimana PDA 1974 “menjadikan Petronas pemegang tunggal hak milik petroleum negara”.
Hujah tersebut menyatakan kerangka undang‑undang industri petroleum berubah sepenuhnya apabila seluruh sumber petroleum diserahkan kepada Petronas.Moorthy menambah bahawa “kerajaan Persekutuan telah mencapai matlamat mutlaknya, mengeluarkan industri petroleum daripada kawalan kerajaan‑kerajaan negeri.”
Tambah Moorthy, undang‑undang terdahulu seperti Petroleum Mining Act 1966 dan Continental Shelf Act 1966 menjadi tidak lagi relevan.
Hafiz menyatakan, selepas PDA digubal, “satu-satunya entiti kerajaan yang terlibat dalam industri petroleum hanyalah kerajaan Persekutuan melalui Petronas,” dan peranan Petronas adalah sebagai pemain komersial, bukan pengawal selia.
“Semua konsep hak milik seperti pajakan, lesen dan ‘profit à prendre’ tidak lagi terpakai dalam industri petroleum Malaysia,” katanya, sambil menyifatkan PDA telah memusatkan kuasa sepenuhnya di bawah Petronas.
PDA 1974 meletakkan Petronas sebagai pemegang hak eksklusif bagi penerokaan, pembangunan dan pengeluaran minyak serta gas di seluruh Malaysia, dengan negeri‑negeri pengeluar menerima bayaran royalti tunai.
Namun dominasi itu dicabar Sarawak, terutamanya sejak penubuhan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) pada 2017 dan penguatkuasaan Ordinan Pengagihan Gas 2016 (GDO 2016) yang mewajibkan semua pemain, termasuk Petronas, mendapatkan lesen pengedaran gas di negeri tersebut.
Pada 2020, satu Perjanjian Penyelesaian Komersial (CSA) dimeterai antara Putrajaya dan Kuching, tetapi butir‑butirnya masih dirunding dari semasa ke semasa.
Isu terbaharu timbul apabila Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak mengeluarkan notis undang‑undang kepada Petronas Carigali atas dakwaan melanggar Seksyen 7(e) GDO 2016.
*Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami