SHAH ALAM: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan kemungkinan pihak berwajib terlepas pandang aspek tertentu daripada peringkat penternakan ke aspek penjualan hingga harga ayam ketika ini masih tinggi.

Beliau berkata, kelemahan di peringkat tertentu itu menyebabkan harga ayam masih belum dapat distabilkan dan impaknya hingga ke peringkat pengguna.

Menurutnya, peniaga merintih sukar mematuhi harga siling ayam ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta mendakwa mendapat bekalan ayam pada harga hampir menyamai paras siling ditetapkan iaitu RM8.90 sekilogram.

Katanya, bagaimana peniaga mampu mendapat keuntungan jika masih menjual ayam pada RM8.90 sekilogram di pasaran dan akibatnya sebilangan peniaga bertindak menjual ayam melebihi paras siling seterusnya dikenakan tindakan oleh penguat kuasa.

"Kita hairan jika dakwaan peniaga itu benar kerana langkah untuk menstabilkan harga ayam di pasaran pernah diumumkan. Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) misalnya memberi subsidi kepada penternak ayam sebanyak 60 sen setiap kilogram.

"Ia dikatakan bagi membantu kenaikan kos makanan jagung dan soya yang merangkumi 70 peratus kos penternakan ayam. Begitu juga permit import ayam bulat dibuka kepada semua pemegang Permit Kelulusan (AP) bagi mengimport ayam. Namun selepas segala pengumuman itu, peniaga masih mendakwa menerima bekalan ayam pada harga yang tinggi.

"Jika begitu apakah impak positif daripada pemberian subsidi dan kebenaran mengimport ayam diberikan kepada syarikat tertentu?" Katanya menerusi hantaran di Facebook, pada Sabtu.


Media pada Rabu lalu melaporkan harga ayam meningkat sebanyak RM1.60 sekilogram menjadi RM10.50 di sesetengah kawasan sekali gus melebihi harga siling ditetapkan kerajaan iaitu RM8.90.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, pengguna dan peniaga sama-sama terkesan akibat kenaikan harga ayam berkenaan.

Beliau menegaskan, bagi pengguna kenaikan harga barang secara langsung telah meningkatkan kos sara hidup mereka manakala peniaga yang baru mahu 'bernafas' semula ketika negara beralih ke fasa peralihan endemik terkesan apabila margin keuntungan berkurangan.

"Kita sokong pengeluaran makanan ternakan atau dedak alternatif dalam negara untuk turunkan harga ayam bagi jangka masa panjang.

"Bagaimanapun dalam keadaan negara masih bergantung kepada import perlu ada penyelesaian jangka masa pendek yang konkrit. Begitu juga dakwaan isu 'orang tengah' dan manipulasi bekalan untuk menetapkan harga tinggi perlu diteliti sebaik mungkin," katanya.

Tambah Ahmad Zahid, jangan pula dipersoalkan ramai makan ayam kerana purata keperluan ayam di negara ini adalah sebanyak 2.09 juta ayam sehari atau 62.9 juta sebulan.

"Hujah sebegitu langsung tidak membantu berdepan isu sebenar dan sekadar mengundang 'riwayat' Bangau Oh Bangau," ujar beliau.


*Artikel asal di Sinar Harian