MOSCOW: "Keselamatan bukan masalahnya, tetapi kos sekali makan sehingga RM50 seorang menyebabkan kami terpaksa berjimat cermat serta pada satu tahap mencatu tiga hidangan utama harian."

Itu antara luahan atau pengakuan beberapa pelajar Malaysia di Rusia yang mengakui kekal berdepan masalah kewangan yang serius kesan daripada pelbagai siri sekatan, berikutan pencerobohan tentera Moscow ke atas jirannya Ukraine, akhir Februari lalu.

Dengan kos sara hidup yang meningkat, harga makanan melonjak pantas, tetapi duit elaun yang jumlahnya terbatas menyebabkan mereka terpaksa ambil pendekatan berjimat cermat serta memikirkan dua kali untuk makan berkali-kali.

Salah seorang pelajar Malaysia di Rusia, Amir Syafiq Abdul Rashid mendedahkan dia terpaksa berkongsi memasak bersama rakan-rakan jika tidak mahu terputus wang di hujung bulan.

Sepinggan hidangan daging bakar atau Nasi Beriyani dengan air di restoran di Rusia kini boleh mencecah sehingga RM70 atau 900 Ruble, kesan daripada kos makanan yang tinggi akibat sekatan ekonomi ke atas Rusia. - Gambar Astro AWANI

"Memang ada elaun, macam saya ditaja Mara (Majlis Amanah Rakyat), tetapi ia hanya cukup untuk tempoh tertentu sahaja. Jika mahu belanja, terpaksa mengehadkan pembelian barangan mentah dan masak beramai-ramai di rumah.

"Jika makan di luar, memang tinggi kosnya, sebab sekali makan sahaja kosnya boleh cecah RM50 dan ke atas,'' kata pelajar Tahun 3 Institut Penerbangan Moscow, MAI ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini.

Dalam pada itu, seorang lagi pelajar, Mohd Ikhwan Khairil Anuar pula berkata, dia tidak begitu bimbang dengan soal keselamatan memandangkan kerajaan Rusia beri jaminan warga asing di negara itu akan dipelihara keselamatannya walaupun ketika konflik masih berpanjangan sehingga kini.

"Apa yang sedikit merisaukan ialah, kos sara hidup yang meningkat disebabkan tukaran mata wang Ruble Rusia lebih kukuh berbanding Dolar Amerika. Jadi, transaksi kewangan semua meningkat, beli barangan begitu juga. Tidak terkecuali, makan, juga sangat mahal.

"Bayangkan, serai dan daun pandan harganya berpuluh-puluh ringgit sekilogram. Beras basmati pula misalnya, boleh cecah RM80 untuk yang beratnya 5 kilogram. Terpaksa jimat cermat jawabnya,'' ujar Mohd Ikhwan.

(Dari kiri) Mohd Ikhwan Khairil Anuar, Amir Syafiq Abdul Rashid dan Nureen Farzana Mohd Sazali.

Kenyataannya turut disokong rakan sepengajian, Nureen Farzana Mohd Sazali yang berkata, dia dan rakan-rakan terpaksa ambil pendekatan berjimat cermat dengan memasak di rumah dan melupakan hasrat untuk menikmati hidangan di luar.

"Kalau jimat cermat, saya rasa tidak membebankan sangat soal kewangan, walaupun sebenarnya sukar juga. Kalaupun ada elaun dan tajaan, masih lagi tidak mencukupi jika tidak berjimat cermat atau catu makanan, daripada empat kali sehari, mungkin boleh makan dua kali sehari sahaja,'' katanya yang sudah tiga tahun berada di Moscow, Rusia sebagai penuntut jurusan kejuruteraan penerbangan.

Di pasaran pada masa ini, sebagai perbandingan, RM100 itu adalah bersamaan dengan 1,300 Ruble berbanding sebelum perang nilai tukaran RM100 adalah sebanyak 1,600 Ruble. Bagi Dolar Amerika pula, 100 Dolar kini bersamaan 6,100 Ruble. Mata wang Dolar Amerika tidak diterima di Rusia sekalipun untuk urusan pengajian dan urusan rasmi antarabangsa lain.

Sebelum ini, kesan daripada pelbagai sekatan ekonomi oleh Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat, kebajikan pelajar Malaysia di Rusia dipersoal apabila ada sebilangan besar mereka merungut disebabkan berdepan masalah gangguan dalam akses perkhidmatan perbankan dan kewangan seperti pindahan dana elektronik (EFT) dari Malaysia ke akaun mereka dengan bank tertentu di Rusia.

 Datuk Bala Chandran berkata pihaknya akan berhubung terus dengan pelajar yang berdepan masalah.

Dalam hal kebajikan pelajar Malaysia di Rusia, Duta Besar Malaysia ke Rusia, Datuk Bala Chandran Tharman beri jaminan, kedutaan tidak pernah pandang sebelah mata sebaliknya berhubung terus dengan pelajar yang bermasalah untuk mencari jalan penyelesaian dalam kadar segera.

"Tidak ada seorangpun yang terkecuali daripada mendapat bantuan dan perhatian kedutaan, tidak kira apa masalah mereka sekali pun, kerana itu menjadi tanggungjawab kami untuk memelihara kebajikan pelajar,'' katanya kepada Astro AWANI.

Ketika ini terdapat 861 rakyat Malaysia di Rusia, terdiri daripada 784 pelajar dan 33 ekspatriat, termasuk 44 petugas kedutaan iaitu kakitangan diplomatik dan teknikal serta tanggungan mereka.

Sehingga kini, pencerobohan Rusia ke atas Ukraine sudah memasuki bulan ketujuh dan belum menampakkan tanda-tanda akan berakhir.

Selain menyebabkan krisis pelarian terbesar sejak Perang Dunia Kedua, konflik Rusia-Ukraine mencetuskan masalah inflasi serta krisis makanan terburuk pernah dialami dunia disebabkan faktor kekurangan bahan bekalan.

Isu Rusia-Ukraine | Pelajar Malaysia di Rusia rasai beban kewangan