MALAYSIA
Hargai pengorbanan pahlawan, kekalkan nikmat kemerdekan - Abang Johari

Abang Johari berkata keamanan dan kesejahteraan negara yang dinikmati tidak datang dengan mudah, sebaliknya adalah hasil perjuangan panjang yang penuh kepayahan oleh generasi terdahulu. - Gambar fail/Bernama
KUCHING: Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyeru rakyat supaya tidak melupakan jasa parapejuang tanah air yang telah mengorbankan jiwa dan raga demi kemerdekaan serta keamanan negara, selain terus menghargai nikmat kemakmuran dikecapi hari ini.
Abang Johari berkata keamanan dan kesejahteraan negara yang dinikmati tidak datang dengan mudah, sebaliknya adalah hasil perjuangan panjang yang penuh kepayahan oleh generasi terdahulu.
"Kita mesti sedar bahawa segala kenikmatan yang kita warisi ini tidak sekali-kali diperoleh dengan mudah dalam jangka waktu singkat.
"Malah ia telah menyaksikan perjuangan berterusan yang mengorbankan jiwa dan raga para pahlawan tanah air untuk mempertahankan kedaulatan setiap inci bumi tercinta ini," katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalannya Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Majlis Sambutan Hari Pahlawan 2025 di Tugu Pahlawan, hari ini.Beliau berkata sambutan Hari Pahlawan merupakan detik yang tepat untuk seluruh rakyat mengenang jasa wira negara yang telah berjuang demi tanah air sama ada sebelum mahupun selepas kemerdekaan.
"Simboliknya, Hari Pahlawan boleh diertikan sebagai hari memperingati mereka yang telah berkorban dalam mempertahankan kedaulatan negara daripada sebarang ancaman.
"Pahlawan negara seharusnya menjadi sejarah yang sentiasa dikenang kerana telah mencipta ketamadunan negara kepada bumi bertuah ini," katanya.
Abang Johari turut meminta rakyat sentiasa mendoakan kesejahteraan pejuang negara serta keluarga mereka di samping menjadikan pengorbanan tersebut sebagai penguat semangat untuk mempertahankan keharmonian yang ada.
"Segala kenikmatan yang kita kecapi ini adalah natijah pengorbanan jiwa dan raga rakan-rakan seperjuangan terdahulu... sebagai satu anugerah Ilahi yang tidak ternilai harganya," katanya.
Majlis itu turut dihadiri Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol dan Ketua Majlis Adat Istiadat Sarawak Datuk Ronnie Edward.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami