KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memperkukuh kekuatan sebagai benteng pertahanan negara dengan memberi penekanan bukan sahaja kepada aset dan keupayaan fizikal, malah pembangunan warga, tatakelola serta kesiapsiagaan tempur dalam menghadapi persekitaran keselamatan yang semakin kompleks.
Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman berkata pendekatan itu diterjemahkan menerusi tiga nilai utama yang dirangkum dalam akronim ATM, iaitu Akhlak Teras, Tatakelola Tuntas dan Martabat Tempur.
Beliau berkata ketahanan angkatan tidak boleh bergantung kepada kekuatan fizikal dan aset semata-mata, sebaliknya memerlukan ketiga-tiga nilai berkenaan bagi memastikan ATM kekal berkeupayaan menghadapi ancaman semasa dan masa hadapan.
“Akhlak Teras menjadi asas pembentukan warga ATM manakala Tatakelola Tuntas merangkumi pengurusan sumber manusia, aset, perolehan dan kewangan yang berteraskan integriti, kejujuran serta amanah.
“Martabat Tempur pula menjurus kepada kesiapsiagaan serta kekuatan angkatan bagi memastikan ATM mampu melaksanakan tugas dan menghadapi ancaman sama ada pada masa kini mahupun masa hadapan,” katanya dalam temu bual khas sempena Hari ATM di sini.
Beliau berkata usaha memperkukuh ketahanan itu selari dengan pelan pembangunan Angkatan Masa Hadapan yang disasarkan hingga 2055 bagi menjadikan ATM sebagai sebuah ketumbukan yang kredibel.
Menurut Malek Razak, pelan jangka panjang itu kini memasuki fasa kedua bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang memberi tumpuan kepada pembangunan kekuatan, selepas fasa pertama yang bermula pada 2021 memberi tumpuan kepada penstrukturan semula reka bentuk dan organisasi pasukan.
Bagi memastikan pembangunan itu mempunyai hala tuju yang jelas, ATM turut menggariskan Strategi 5D sebagai pendekatan utama iaitu Diplomasi (Diplomacy), Kesan (Detect), Cegah (Deter), Nafi (Deny) dan Tewaskan (Defeat).
Malek Razak berkata pendekatan itu dimulakan dengan diplomasi bagi mengurangkan risiko konflik sebelum beralih kepada strategi Cegah yang bertujuan mengenakan kos strategik serta membentuk mentaliti supaya pihak lawan tidak memperlekehkan kedaulatan Malaysia.
“Strategi Nafi pula bertujuan menafikan kebebasan pihak lawan daripada mencapai objektif mereka manakala (strategi) Tewaskan memastikan kita mempunyai keupayaan merentasi pelbagai domain untuk menumpaskan ancaman sekiranya konflik tidak dapat dielakkan,” jelasnya.
Sementara itu, kemuncak sambutan ulang tahun bertemakan “Ketahanan ATM, Benteng Pertahanan Negara” akan diteruskan menerusi penganjuran Karnival Hari ATM 2026 di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak pada 19 dan 20 Sept ini.
Pelbagai aktiviti disediakan untuk pengunjung, termasuk pameran aset darat, laut dan udara, demonstrasi keupayaan pasukan khas, Perbarisan Tempur ATM, lawatan ke kapal TLDM serta aktiviti menaiki bot.
Turut diadakan ialah pameran agensi keselamatan, persembahan kebudayaan, gerai jualan dan pelbagai aktiviti interaktif untuk seisi keluarga.
-- BERNAMA