Hari ke 11 Ops Daulat menyaksikan penemuan tiga kubur baru di Kampung Tanduo. Berikut adalah turutan peristiwa pada hari ini:

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib menjumpai tiga kubur baru di Kampung Tanduo.

Menurut beliau, kubur-kubur itu mengandungi 15 mayat dan berada berhampiran dengan sebuah kubur besar yang ditemui di sana 10 hari lalu.

Hamza berkata setakat ini 61 orang Sulu telah ditembak mati dan 27 mayat telah berjaya dikeluarkan dari tempat pertempuran.

Beliau juga berkata 97 tangkapan telah dibuat dibawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dan 233 tangkapan lain-lain telah dibuat.

Sementara itu, Hamza berkata polis percaya ada hanya 10 lagi mayat pengganas yang belum dibawa keluar dari Kampung Tanjung Batu.

Polis juga telah menahan lapan pemuda dari Filipina yang menaiki bot laju untuk memasuki kawasan operasi di Kampung Sungai Bilis semalam.

Hamza berkata pemuda-pemuda itu yang berusia dalam lingkungan 17 ke 18 tahun cuba memasuki Kampung Sungai Bilis kira-kira pukul 12.15 tengahari semalam.

Beliau menambah pemuda-pemuda itu membawa 300 bekas air kosong dan wang tunai 369,000 pesos (RM28,300).

Orang ramai juga masih belum dibenarkan masuk ke kawasan operasi di Kampung Tanduo dan Kampung Minyak walaupun kedua-dua kampung itu telah ‘dibersihkan’ dari pengganas Sulu.