Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri mengingatkan rakyat di negara ini agar sentiasa mengamalkan kawalan kendiri terutama ketika menyambut hari ulang tahun kemerdekaan negara ke-63.

Dalam kenyataan media beliau memaklumkan, walau meraikannya dalam keadaan sederhana dan norma baharu, rakyat sesekali diingatkan supaya tidak lupa bahawa pandemik COVID-19 masih menjadi ancaman kepada negara.

"Hari ini 31 Ogos 2020 merupakan sambutan Hari Kebangsaan negara kita yang ke-63. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Biarpun sambutan tahun ini diadakan secara sederhana dalam suasana norma baharu kerana negara belum bebas sepenuhnya dari ancaman pandemik COVID-19, namun setiap daripada kita bebas mengekspresikan semangat cintakan negara.

"Dalam keriangan meraikannya, jangan pula kita lupa bahawa kita masih belum merdeka daripada ancaman virus COVID-19 kerana ia masih lagi berada di sekeliling kita," jelasnya.

Justeru, setiap rakyat perlu membudayakan amalan norma baharu dalam aktiviti harian dan kawalan kendiri kata Menteri Kanan Pertahanan itu.

Sebelum ini, Ismail antara lain mengumumkan bahawa tiada sambutan Hari Kemerdekaan ke-63 diadakan secara besar-besaran selepas mengambil kira situasi terkini pandemik.