MELAKA: Penyedia perkhidmatan bas henti-henti Panorama Melaka menyediakan bas percuma kepada pengunjung untuk menghadiri sambutan Hari Malaysia di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir di sini pada Jumaat ini.

Pengurus Besar Panorama Melaka Datuk Abu Bakar Abdul berkata sebanyak dua bas ulang-alik akan melalui jalan di sekitar Melaka Raya dan Banda Hilir di sini bermula 5 petang Jumaat hingga 1 pagi pada Sabtu.

Beliau berkata setiap bas berkenaan mampu menampung kira-kira 30 penumpang pada satu-satu masa dan kekerapan pergerakan adalah setiap 10 hingga 15 minit.

"Bas ulang-alik yang disediakan ialah bas Panorama Melaka berwarna putih yang akan bergerak bermula di Pulau Melaka dan akan melalui jalan di sekitar Melaka Raya dan Banda Hilir.

"Tiada hentian tertentu ditetapkan untuk penumpang menaiki bas itu sebaliknya mereka boleh menahan bas berkenaan di mana-mana sahaja jalan yang dilalui kenderaan itu untuk ke Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata pengunjung dinasihatkan untuk meletakkan kenderaan mereka di kawasan parkir kereta percuma atau berbayar yang terdapat di sekitar kawasan itu dan menaiki bas Panorama Melaka untuk ke tapak sambutan.

Abu Bakar berkata penyediaan bas ulang-alik itu bertujuan memberi kemudahan kepada pengunjung yang ingin hadir memeriahkan sambutan Hari Malaysia 2022 selain membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan Banda Hilir.

Katanya, inisiatif itu juga satu daripada komitmen Panorama Melaka untuk memberi perkhidmatan percuma sempena sambutan hari bersejarah berkenaan.

Sambutan Hari Malaysia kali ini turut menampilkan keunikan dengan tema busana era 50-an dan 60-an dipilih bagi meraikan sambutan itu.

Kira-kira 20,000 pengunjung dijangka hadir bagi memeriahkan sambutan julung-julung kali diadakan di Semenanjung itu.

-- BERNAMA