MALAYSIA
Hari Malaysia peringatan untuk hormati asas Persekutuan - Premier Sarawak

Abang Johari berkata, kekuatan sebenar negara lahir daripada perpaduan rakyat daripada wilayah-wilayah yang membentuk Persekutuan Malaysia. - Gambar fail/Bernama
BUTTERWORTH: Sambutan Hari Malaysia bukan sekadar perayaan tahunan, sebaliknya peringatan penting kepada rakyat untuk menghormati dan memahami asas pembentukan negara ini yang berpaksikan semangat Persekutuan, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Dalam ucapan menerusi rakaman video sempena Sambutan Hari Malaysia 2025 di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth di sini malam ini, beliau berkata bahawa kekuatan sebenar negara lahir daripada perpaduan rakyat daripada wilayah-wilayah yang membentuk Persekutuan Malaysia.
"Sambutan ini menjadi peringatan kepada kita semua bahawa kekuatan sebenar negara terletak pada persatuan dan kesepakatan rakyatnya yang telah menjadi tonggak kepada pembangunan negara," katanya menerusi rakaman video yang ditayangkan pada sambutan hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus menjunjung semangat Hari Malaysia dan mempertahankan asas yang telah menyatukan negara sejak 1963."Dengan semangat ini, marilah kita terus berganding bahu dan memastikan Malaysia terus berdiri megah sebagai sebuah negara yang maju, makmur, inklusif dan dihormati di pentas dunia," katanya.
Pada masa sama, Premier Sarawak itu turut menyentuh mengenai peranan penting Malaysia di peringkat antarabangsa, terutama sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Tahun ini Malaysia memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN. Peranan ini memperlihatkan keupayaan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri dalam usaha untuk mengukuhkan perpaduan serantau dan menjalin kerjasama erat dalam kalangan anggota ASEAN," katanya.
Mengulas pencapaian Sarawak, Abang Johari berkata pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) telah meletakkan negeri itu di kedudukan keempat dalam kalangan negeri yang telah mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada kerajaan Pulau Pinang sebagai tuan rumah sambutan tahun ini dan menyambut baik usaha kerajaan Persekutuan dalam menggilirkan sambutan Hari Malaysia di pelbagai negeri.
Terdahulu, Anwar, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas mewakili Premier Sarawak serta Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Shahelmey Yahya mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor hadir memeriahkan sambutan malam ini.
Edisi sambutan Hari Malaysia kali ini berlangsung di Pulau Pinang selaras dengan amalan penggiliran lokasi penganjuran acara itu antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia setiap tahun.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami